Seri Paduka kini di Jordan

KUALA LUMPUR 1 Jun – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, berkenan berangkat bertemu dengan Raja Jordan Raja Abdullah II di Beit Al Urdun, Amman.

Menurut hantaran menerusi Facebook Istana Negara, keberangkatan tiba Seri Paduka di Beit Al Urdun pada jam 1.30 tengah hari waktu tempatan (6.30 petang waktu Malaysia) semalam disambut oleh Raja Abdullah II.

Turut mengiringi Seri Paduka ialah anakanda Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah dan Duta Malaysia ke Jordan, Mohamad Nasri Abd Rahman.

Pada pertemuan itu, kedua-dua pemimpin berkenan menyentuh berkenaan usaha-usaha untuk mengukuh dan meningkatkan kerjasama antara Malaysia dan Jordan demi kepentingan bersama.

Seri Paduka dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, kini berada di Amman bagi lawatan khas selama empat hari bermula 30 Mei atas persilaan Raja Abdullah II.

Seri Paduka berdua diiringi oleh anakanda Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah, Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Afzan Aminah Hafidzatullah dan Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Jihan Azizah ‘Athiyatullah.

Seri Paduka berdua dijadual berangkat menghadiri Majlis Perkahwinan Diraja Putera Mahkota Jordan di Istana Zahran hari ini, disusuli keberangkatan ke Majlis Jamuan Sambutan Perkahwinan Diraja di Istana Al Husseinieh di Amman pada sebelah malam.

Majlis Perkahwinan Diraja Putera Mahkota Jordan akan turut diserikan dengan kehadiran kerabat-kerabat diraja, pemimpin dan kenamaan dari seluruh dunia.

Seri Paduka berdua dijadualkan berangkat pulang ke tanah air pada 2 Jun ini.

Related posts

Leave a Comment