Lihat tujuan sebenar bina litar drag – Ismail Sabri

KUALA LUMPUR 30 Mei –  Ismail Sabri Yaakob menggesa kerajaan meneruskan perancangan membina litar drag seperti yang dibentangkan sebelum ini dalam Belanjawan 2023 oleh kerajaan Keluarga Malaysia.

Perdana Menteri Kesembilan itu berkata, ini kerana tujuan utama pembinaan litar drag ini adalah untuk memenuhi aspirasi anak muda dan menghindarkan golongan itu daripada terlibat dengan budaya tidak sihat

“Kerajaan seharusnya melihat secara mendalam tujuan sebenar pembinaan litar drag ini dan bukannya mengambil keputusan untuk tidak meneruskannya dengan memberikan pelbagai alasan.

“Tujuan utama pembinaan litar drag ini adalah untuk menghindarkan golongan muda daripada terlibat dengan budaya tidak sihat seperti perlumbaan haram, samseng jalanan dan melepak dengan menyediakan tempat untuk mereka beriadah,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan susulan keputusan Kementerian Belia dan Sukan tidak meneruskan perancangan membina litar drag berikutan tiada peruntukan RM20 juta seperti dibentangkan dalam belanjawan tersebut kerana Parlimen dibubarkan selepas itu.

Ismail Sabri berkata, sekiranya kerajaan memikirkan peruntukan sebanyak RM20 juta tidak mencukupi, jumlah tersebut boleh ditambah pada tahun berikutnya sehingga litar drag ini dapat dibina seluruh negeri.

Bagaimanapun beliau percaya, peruntukan RM20 juta itu memadai sebagai dana awal melaksanakan program ini.

Beliau juga mempunyai keyakinan tinggi bahawa pembinaan litar drag mempunyai impak yang besar dalam menarik lebih ramai tenaga pengajar profesional untuk melatih dan melahirkan bakat baharu tempatan yang mampu bersaing di peringkat antarabangsa.

“Sukan permotoran mempunyai minat yang tinggi dalam kalangan belia dan jelas kelihatan sewaktu saya menghadiri Program RXZ Members 4.0 di Gong Badak pada tahun lepas dengan kehadiran puluhan ribu anak muda dari seluruh negara.

“Ini menunjukkan sukan permotoran mempunyai potensi yang baik. Saya juga berpendapat adalah ideal jika pembinaan litar drag ini dapat dilaksanakan di setiap daerah agar program ini dapat melibatkan seluruh belia termasuk mereka yang tinggal di luar bandar dan kawasan pedalaman,” katanya.

Justeru beliau berharap Menteri Belia dan Sukan dapat turun padang dan melihat sendiri bagaimana litar drag sedia ada bagi mendapatkan gambaran jelas mengenai sukan pemotoran ini.

Related posts

Leave a Comment