Kalimah Allah: SPIIM minta segera kemas kini

KUALA LUMPUR 30 Mei – Sekretariat Perpaduan Ilmuwan Islam (SPIIM) menjunjung titah Raja-Raja Melayu berhubung kalimah Allah dan menyokong keputusan Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan sebelum ini bahawa kalimah itu khusus untuk umat Islam.

SPIIM juga menyokong usaha  menyegerakan tindakan mengemaskini Arahan Pentadbiran dan Pekeliling KDN berhubung penguatkuasaan Kalimah Allah supaya tidak berlaku lagi isu dan kes mahkamah seumpama kes Jill Ireland yang membawa masuk CD bertulis kalimah Allah pada tajuknya.

“Sehubungan itu SPIIM menyeru semua pihak untuk meneruskan usaha berdakwah bagi memupuk masyarakat Madani untuk menolak kelompok yang memecahbelahkan masyarakat,” kata SPIIM dalam satu kenyataan selepas mesyuarat kali pertama di sini semalam.

Menurut kenyataan itu lagi, mesyuarat turut memperakui tiga objektif SPIIM iaitu, Menjamin dan mengukuhkan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan dalam pentadbiran dan pengurusan negara; Memperkasakan perpaduan dan kesatuan umat Islam di Malaysia sebagai asas kerukunan bernegara; Menyuburkan keharmonian bermasyarakat di kalangan rakyat Malaysia yang bersifat majmuk, berbilang agama dan kaum.

SPIIM juga memaklumkan akan mengadakan Konvensyen Perpaduan Ilmuwan Islam bagi menghimpunkan alim ulama dan ilmuwan Islam untuk memperkasakan agenda Islam dalam kerangka Malaysia Madani.

Hadir sama dalam mesyuarat itu ialah Pengerusi Bersama SPIIM, Dusuki Ahmad,  Ahmad Awang dan Amidi Abdul Manan.

Ahli mesyuarat ialah Dr Mohd Khairuddin Aman Razali, Kamal Nazmi Kamaruddin dan Edrus Ab Rahman mewakili UMNO.

Amanah pula diwakili oleh Abd Ghani Samsudin, Dr Mujahid Yusof Rawa dan Ahmad Munsif Ismail manakala Keadilan diwakili Mohd Zawawi Ahmad Mughni dan Muhamad Muszaki Mohd Ozir.

Related posts

Leave a Comment