Erdogan menuju pemerintahan dua dekad

ISTANBUL: Presiden Recep Tayyip Erdogan, 69 memenangi pusingan kedua Pilihan Raya Presiden Turkiye, sekali gus melanjutkan tempoh pemerintahannya lima tahun lagi di negara itu serta menuju pemerintahan dua dekad.

Pemimpin itu berhadapan pakatan pembangkang paling kuat yang pernah dihadapi parti berteraskan Islam pimpinannya untuk memenangi pilihan raya paling sukar itu.

Pemulihan ekonomi Turkiye akan menjadi cabaran paling besar bagi Erdogan kerana mata wang lira kini merudum teruk dan ladar inflasi mencecah 85 peratus tahun lalu.

Dalam ucapan selepas kemenangan bersejarah itu, beliau meminta rakyat Turkiye untuk bersatu.

“Kita harus bersatu dalam perpaduan dan solidariti. Kami menyeru dengan sepenuh hati kami,” kata Erdogan kepada orang ramai yang meraikan kemenangannya dan mengibarkan bendera.

Keputusan pilihan raya itu menunjukkan Erdogan menewaskan pencabarnya dari parti pembangkang sekular, Kemal Kilicdaroglu dengan empat mata peratusan.

Sementara itu, jalan di negara itu meriah dengan sambutan penyokong yang membunyikan hon kenderaan, dengan pemimpin terpenting dalam sejarah Turkiye itu mengetuai lautan penyokongnya menyanyikan lagu kemenangan di luar istana presiden di Ankara.

Lokasi ikonik di Istanbul, Dataran Taksim, turut dibanjiri orang ramai yang bernyanyi dan mengibarkan bendera.

Pemimpin dunia turut memberi ucapan tahniah kepada Erdogan.

“Saya berharap untuk terus bekerjasama sebagai Sekutu NATO (Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara) dalam isu dua hala dan berkongsi cabaran global,” kata Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden melalui Twitter.

Presiden Russia, Vladimir Putin, berkata keputusan itu menunjukkan sokongan kepada ‘usaha Erdogan untuk mengukuhkan kedaulatan negara dan meneruskan dasar luar yang bebas’.

Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky, berkata beliau mahu terus bekerjasama dengan Erdogan ‘untuk keselamatan dan kestabilan Eropah’.

Pemimpin di seluruh Eropah dan dunia Arab turut mengucapkan tahniah, selain bekas presiden AS, Donald Trump.

Related posts

Leave a Comment