Pegawai penyiasat gagal patuhi SOP

KUALA LUMPUR 13 Ogos  – Tindakan tegas akan diambil terhadap pegawai penyiasat dan penyelianya kerana gagal melaksanakan tanggungjawab dengan tidak memohon bedah siasat dalam kes kematian Allahyarham Zara Qairina Mahathir.

Tindakan tegas itu sedang diteliti termasuk kemungkinan penggantungan tugas, namun masih di peringkat siasatan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman,  M Kumar S Muthuvelu, berkata prosedur operasi standard (SOP) jelas mewajibkan bedah siasat dilakukan sekiranya punca kematian tidak diketahui atau wujud elemen mencurigakan.

Katanya, walaupun ada permohonan keluarga untuk tidak menjalankan bedah siasat, undang-undang memberi kuasa kepada pegawai penyiasat untuk memohon prosedur itu sekiranya terdapat keraguan terhadap punca kematian.

“Ketidakpatuhan di sini ialah pegawai penyiasat tidak memohon untuk bedah siasat pada peringkat awal, sedangkan itu adalah asas siasatan sekiranya kematian menimbulkan keraguan,” katanya pada sidang media di Bukit Aman, hari ini.

Zara Qairina, 13, disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I di Kota Kinabalu, Sabah pada 17 Julai lalu.

Kumar memaklumkan semakan mendapati ibu mangsa menandatangani dokumen hospital ‘Akuan Enggan Bedah Siasat Mayat Atas Kemahuan Sendiri’ yang turut disahkan oleh doktor patologi dan pegawai penyiasat terbabit.

“Walaupun ada permohonan keluarga untuk tidak menjalankan bedah siasat, undang-undang memberi kuasa kepada pegawai penyiasat untuk memohon prosedur itu sekiranya terdapat keraguan terhadap punca kematian,” katanya.

Katanya, setiap kematian yang menimbulkan syak wasangka wajib melalui proses bedah siasat dan pegawai penyiasat perlu menasihati keluarga dan memastikan prosedur itu dijalankan bagi menentukan punca sebenar kematian.

Beliau berkata, selepas perbincangan bersama agensi berkaitan pada 10 Ogos lalu, bedah siasat dijalankan atas permintaan polis, disertai tiga doktor dari Hospital Serdang dan Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu.

“Dapatan bedah siasat kedua adalah selari dengan diagnosis awal, iaitu kecederaan otak teruk akibat kekurangan oksigen dan aliran darah ke otak berpunca daripada jatuh,” katanya.

Beliau berkata, semua dapatan bedah siasat dijelaskan kepada keluarga mangsa secara telus dan difahami bahawa prosedur ini sepatutnya dilakukan sebaik sahaja kematian berlaku bagi memastikan bukti forensik tidak terjejas.

Kumar menegaskan, pihaknya sedang meneliti tindakan tegas terhadap pegawai penyiasat dan pegawai penyelia yang gagal mematuhi SOP, termasuk kemungkinan penggantungan tugas, namun masih di peringkat siasatan.

Nnn

Related posts

Leave a Comment