Jenazah pendaki tiba dibawa ke hospital

KUALA LUMPUR 24 Mei – Jenazah pendaki Malaysia Everest 2023 (ME 2023), Leftenan Kolonel (PA) Awang Askandar Ampuan Yaacub, 56, selamat tiba di Everest Base Camp pada pukul 9.50 pagi waktu Nepal hari ini.

Menurut hantaran misi ME 2023 di Facebook, jenazah akan dibawa ke Lukla menggunakan helikopter, sebelum dibawa ke hospital di Kathmandu.

Menurut Ketua Misi ME 2023, Azim Afif Ishak, jenazah Allahyarham dibawa turun dari kem empat menggunakan pengusung dengan bantuan oleh enam malim gunung.

Pada Isnin, proses membawa turun jenazah ditangguhkan berikutan masalah cuaca.

Selain itu, berlaku kesesakan trafik di laluan trek memandangkan berbaki beberapa hari lagi sebelum musim pendakian berakhir pada 28 Mei.

Allahyarham Awang Askandar yang juga Pengarah Pertahanan Awam (APM) Kedah meninggal dunia pada Jumaat lalu selepas berdepan masalah kesihatan pada ketinggian 8,000 meter dari aras laut.

Ketika itu, beliau hanya memerlukan kira-kira 20 minit lagi untuk sampai ke puncak Everest.

Related posts

Leave a Comment