RCI siasat buku Tommy Thomas belum wujud

PETALING JAYA 23 Mei – Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat buku tulisan Tommy Thomas, “My Story: Justice in the Wilderness” belum ditubuhkan walaupun penubuhannya dipersetujui pada 11 Januari lalu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said, berkata, persetujuan penubuhan RCI bagi meneliti secara menyeluruh isu berkaitan integriti serta kebebasan kehakiman dan perundangan negara.

“Perkara ini dalam perincian dan tindakan lanjut oleh pihak BHEUU (Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang), JPM (Jabatan Perdana Menteri) sebelum diangkat ke Jemaah Menteri,” katanya dalam jawapan bertulis bagi menjawab soalan Che Mohamad Zulkifly Jusoh (PN-Besut).

Buku tulisan Thomas yang diterbitkan pada Januari 2021 mengundang kritikan beberapa pihak, termasuk Peguam Negara,  Idrus Harun dan beberapa laporan polis dibuat mengenainya.

Antara lain, Thomas mendakwa dalam bukunya bahawa beliau mengadakan perbincangan bersama bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad, ketika kedua-duanya dalam kerajaan, dalam melantik Ketua Hakim Negara, Presiden Mahkamah Rayuan dan Hakim Besar Sabah dan Sarawak.

Pada Perhimpunan Agung UMNO 2022 sebelum ini, UMNO menuntut supaya segala maklumat dan agenda sulit terkandung dalam buku ‘My Story: Justice in the Wilderness  dikorek sehingga ke lubang cacing.

Presidennya, Dr Ahmad Zahid Hamidi, menyerahkan tanggungjawab itu kepada  Azalina Othman Said merangkap Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) untuk berbuat demikian.

“Kita menuntut semua maklumat yang selama ini tersirat oleh penulis buku itu mesti didedahkan, segala maklumat, dokumen dan agenda sulit mesti dikorek sehingga ke lubang cacing.

“Azalina, ini tanggungjawab anda. Kalau anda gagal, anda gagalkan UMNO keseluruhannya. Kalau berjaya, UMNO akan memberi sesuatu yang cukup baik untuk saudari,” kata Zahid.

Related posts

Leave a Comment