ADUN Limbahau keluar KDM

KOTA KINABALU 21 Mei –  Seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mengumumkan keluar parti menjelang pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dijadualkan bermula esok.

 Juil Nuatim mengesahkan bahawa beliau keluar daripada Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) berkuat kuasa serta-merta.

ADUN Limbahau yang juga Timbalan Presiden KDM itu sebelum ini memaklumkan bahawa akan kekal sebagai ADUN Bebas yang menyokong kepemimpinan kerajaan Sabah yang dipimpin Ketua Menteri Sabah  Hajiji Noor.

“Ya saya keluar (KDM), kini sebagai ADUN Bebas buat masa ini. Saya ADUN bebas yang menyokong pimpinan Datuk Seri Hajiji dan kerajaan negeri Sabah.

“Untuk menyertai parti lain, kita tengok dulu mana parti yang boleh membawa pembangunan dan kemajuan di kawasan,” katanya.

Berikutan keputusan itu, KDM kini hanya diwakili Peter yang memenangi kerusi DUN Melalap.

Juil juga menjelaskan tidak ada perselisihan dengan Presiden KDM,  Peter Anthony sebaliknya menegaskan mahu membawa pembangunan di kawasan DUN yang diwakilinya.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 2020,  Juil Nuatim berjaya memenangi kerusi di bawah Parlimen Papar, yang sebelum ini menjadi kubu kuat Barisan Nasional yang menguasai kerusi itu selama empat penggal.

Juil yang bertanding atas tiket Warisan Plus menang dengan memperoleh undi 5,194 mengalahkan tujuh calon lain termasuk calon Parti Bersatu Sabah (PBS), Juani@Johnny Mositun yang memperoleh 2,671 undi.

Beliau bagaimanapun meninggalkan Warisan pada Disember 2021.

Related posts

Leave a Comment