Isu kalimah Allah ke Majlis Raja-Raja

PUTRAJAYA 17 Mei –  Kabinet hari ini mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah untuk mempersembahkan cadangan bagi mengukuhkan penguatkuasaan dasar berhubung kalimah ‘Allah’ kepada Majlis Raja-Raja.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kenyataan media hari ini berkata, langkah itu bagi menyelesaikan isu kalimah ‘Allah’ secara menyeluruh dan bersepadu.

Katanya, kerajaan juga komited memperkukuh perpaduan dan keharmonian di antara kaum dan agama di Malaysia.

Beliau memaklumkan, mesyuarat Jemaah Menteri, hari ini membincangkan mengenai keputusan Peguam Negara untuk menarik balik rayuan terhadap kes seorang wanita beragama Kristian, Jill Ireland Lawrence Bill berhubung bahan penerbitan yang mengandungi kalimah ‘Allah’.

Jemaah Menteri mengambil maklum bahawa keputusan yang dibuat hanya berkisar soal pentadbiran dan tidak merubah ketetapan Mahkamah Persekutuan pada 2014.

“Jemaah Menteri menegaskan bahawa kerajaan menghormati, memperakui dan menerima pakai ketetapan enakmen negeri-negeri dan titah Yang di-Pertuan Agong pada 7 Februari 2023, yang menzahirkan agar dikekalkan dasar sedia ada yang sedang berkuat kuasa berhubung isu penggunaan kalimah Allah,” katanya.

Beliau mengulangi pendirian Kerajaan yang akan sentiasa mempertahan Perlembagaan Persekutuan, terutama Perkara 3 berhubung agama Islam adalah agama Persekutuan dan agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai.

Katanya, kerajaan juga komited memperkukuh perpaduan dan keharmonian di antara kaum dan agama di Malaysia.

Related posts

Leave a Comment