Satu hari nanti KJ mahu pimpin UMNO, jadi PM

SUNGAI BULOH 9 Nov. – Khairy Jamaluddin secara terbuka malam tadi menyatakan hasratnya untuk memimpin UMNO seterusnya menjadi Perdana Menteri pada satu hari nanti.

“Kalau orang Sungai Buloh menangkan saya, Sungai Buloh bukan hadnya. Saya bawa orang Sungai Buloh, satu hari nanti, kita pimpin Malaysia… Insya-Allah,” kata calon Barisan Nasional (BN) bagi P107 Sungai Buloh itu.

Khairy menyatakan demikian di pentas ceramah Kata Janji KJ di Taman Saujana Utama, Sungai Buloh malam ini, bagi meraih sokongan pengundi di Parlimen itu untuk memilihnya pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), 19 November ini.

Katanya, dengan takdir Allah, serta sokongan daripada rakan, satu hari nanti, beliau mahu memimpin UMNO.

“Satu hari nanti, saya mahu menjadi Perdana Menteri anda untuk membangunkan negara ini, tapi saya mesti menang di sini dulu.

“Tidak pernah saya cakap tuan-tuan. Kalau saya cakap begitu, semua MT (Majlis Kerja Tertinggi UMNO) nak ‘keratkan’ saya, tapi sudah tiba masanya saya menyatakannya,” katanya sambil disambut tepukan dan sorakan daripada penduduk yang hadir.

Bagaimanapun, Menteri Kesihatan itu menjelaskan jawatan itu bukan menjadi hasratnya ketika ini kerana persetujuan sudah dicapai bahawa Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang disifatkan sebagai kekandanya, akan menjadi Perdana Menteri jika BN memenangi PRU15.

“I think it’s time for me to say it (sudah tiba masa saya menyatakannya) tapi bukan sekaranglah.

“Sekarang ini kita menang, kekanda saya Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob jadi Perdana Menteri Malaysia. Saya baru 46 tahun, boleh tunggu lagi, tapi jangan lama sangatlah. Saya sedia tapi saya kena buktikan di Sungai Buloh ini dulu.

“Kalau orang Sungai Buloh sokong saya, saya boleh maklumkan kepada orang parti, saya datang ke kandang naga dengan majoriti 26,000 dan saya menang kerusi untuk BN.

“Saya mahu memimpin parti dan saya mahu menerajui negara,” katanya.

(Foto FB KJ)

Related posts

Leave a Comment