Kerajaan Perpaduan semakin kukuh

PUTRAJAYA 15 Mei – Perdana Menteri  Anwar Ibrahim mengulangi keyakinan dengan kesepaduan Kerajaan Perpaduan ketika ini yang semakin kukuh berbanding pada ketika mula mengambil alih kerajaan.

Beliau  berkata, ketika awal pertukaran kerajaan, bermacam-macam percubaan menggagalkannya termasuk menerusi perakuan sumpah (SD) dan sebagainya sehingga sampai kepada Yang Dipertuan Agong dan sultan-sultan.

“Pada peringkat awal saya ambil itu, macam-macam percubaan, SD dan sebagainya dan sampai kepada Yang Dipertuan Agong dan sultan-sultan.

Tapi bila beberapa bulan berlalu, nampak lebih kemas. Dalam sistem politik demokrasi, siapa pun boleh rebut kuasa ikut jalur yang sah.

“Ketua parti baik Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN), GPS, GPRS, parti besar bagi komitmen yang sangat jelas.

Pengukuhan menerusi perhimpunan semalam jelas bahawa sekurang-kurangnya untuk bertahun akan datang ini, tidak ada lagi layanan terhadap percubaan untuk sabotaj kerajaan yang ada,” katanya pada Perhimpunan Bulanan Jabatan Perdana Menteri (JPM) di sini hari ini.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, menerusi beberapa program dilaksana Kerajaan Perpaduan telah memberi keyakinan, negara mungkin mantap kalau kerajaan itu stabil dan ada jangka panjangnya sehingga Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Katanya, kestabilan politik sedia ada dalam negara telah menyumbang kepada beberapa prestasi yang baik antaranya ekonomi negara mencatat pertumbuhan lebih baik daripada jangkaan sebanyak 5.6 peratus pada suku pertama 2023.

“Angka-angka Jabatan Perangkaan menunjukkan suku tahun pertama itu jauh lebih baik daripada yang diunjurkan November dan Disember tahun lepas… inflasi berkurang, jumlah penganggur berkurang dan pelaburan juga bertambah,” katanya.

Beliau berkata pertambahan pelaburan di Malaysia memerlukan semua pihak di peringkat pusat dan negeri untuk bekerja serentak bagi membolehkan proses pelaburan lancar.

Related posts

Leave a Comment