PN SEDANG ‘DITIDURKAN’

KETIKA ini, kerajaan Perikatan Nasional (PN) umpama sedang ‘bertarung’ di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan ‘ditidurkan’. PN sudah lama ‘dijangkiti virus ganas’ sehinggalah dua hari lepas semakin kritikal. Keadaannya 50-50.

PN sudah lama diserang ‘virus politik’ tetapi kehadiran virus ganas ciptaan makmal PN sendiri lebih parah. Virus darurat, pembatalan ordinan darurat, penarikan sokongan UMNO menyebabkan PN semakin kritikal.

Tinggal beberapa jam, pelbagai kemungkinan boleh berlaku. Hidup atau mati tetapi ini politik. Sama-sama kita tunggu esok, adakah PN boleh ‘membuka semula matanya’ atau ‘bernafas’ kembali tetapi bergantung kepada ‘oksigen’.

Apa pula kebijaksanaan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.
Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al- Musta’in Billah bagi ‘menyelamatkan’ situasi kritikal ini?

Dalam situasi hari ini, rakyat hanya mengharapkan kestabilan bagi menangani pandemik. Jika bukan kerana Covid-19 sudah lama rakyat mahu isu ini diselesaikan di peti undi. Tetapi pengalaman di Sabah menginsafkan banyak pihak.

Mahu atau tidak, saat ini, semua pihak sepatutnya ‘bertahan’ dengan membuang sikap ego masing-masing. Bersabar menanti masa dan ketika. Jangan gelojoh sehingga yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran.

Cubaan saat akhir sebelum PN ‘ditidurkan’, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengundang situasi lebih parah. Tujuh cadangan rangka persefahaman rentas parti yang dikemukakan dalam ucapan khas pada Jumaat lebih memburukkan keadaan.

Apatah lagi perkara itu khabarnya tidak merujuk kepada rakan-rakan PN lain. Akhirnya cadangan itu menimbulkan persepsi lebih buruk. Tawaran itu dilihat sebagai terdesak. Sewajarnya Muhyiddin tunggu sahaja September, uji keabsahan di Parlimen.

Hasrat Muhyiddin tidak disahut oleh pihak sebelah sana malahan dianggap penghinaan dan rasuah. Jika ada pun seorang dua. Itu pun pengakhirannya seolah-olah ada muslihat politik yang akhirnya bagi kepentingan politik kepartian juga.

Bagi kebanyakan orang, buatlah apa sahaja asalkan dapat mengelakkan kerajaan bertukar sekali lagi ketika pandemik sedang mengganas. Jika berlaku sekali lagi Malaysia mencipta rekod paling kerap bertukar kerajaan ketika ‘perang pandemik’.

Yang menyokong usaha ‘menyelamatkan kerajaan PN’ oleh Muhyiddin adalah gabungan melalui PN sementara UMNO yang sama-sama membentuk kerajaan turut menolak. Malahan sinis dengan ‘tawaran’ itu.

Kepemimpinan PH, Pejuang, Muda, Warisan dan yang bersatus pembangkang menolak awal-awal lagi. Bagi mereka keadaan lebih baik jika Muhyiddin meletak jawatan dengan segera dan membentuk kerajaan baharu.

Dalam erti kata lain tukar pemimpin. Hari ini Muhyiddin letak jawatan esok dapat PM baharu walaupun ia tidaklah semudah itu. Kita ada pengalaman sebelum ini apabila Dr. Mahathir Mohamad meletak jawatan.

Beberapa keputusan PN sebelum ini untuk mengukuhkan kerajaan tidak begitu ‘menjadi’ apatah lagi UMNO yang ‘berpecah’ berkaitan soal sokongan. PN bagaikan ‘ menyalak bukit’. Keadaan sekarang juga bagaikan tikus membaiki labu.

Apatah lagi Muhyiddin juga dalam beberapa ucapannya dikatakan telah menyinggung orang yang masih ada pengaruh di dalam UMNO. Yang makan cili terasa pedasnya, merah padam muka, ibarat mencurah minyak ke dalam api.

Sepatutnya dalam setiap keadaan apatah lagi kerajaan seperti telur di hujung tanduk, pendekatannya sewajarnya adalah ibarat menarik rambut di dalam tepung; rambut jangan putus, tepung jangan berserak.

Tetapi mungkin Muhyiddin berpegang kepada “katakanlah kebenaran itu walaupun pahit”, cuma apa yang dihadapinya sekarang adalah di gelanggang politik bukan di gelanggang tinju yang keputusannya sama ada KO atau TKO.

Dalam politik, ada pelbagai kemungkinan. U-turn, cempedak menjadi nangka, putih bertukar hitam dan macam-macam lagi. Apatah lagi apabila ada yang menganggap mereka durian, orang lain mentimun!

Apa pun keputusan esok, pandemik dan vaksinasi tidak terabai. Rakyat tidak harus dijadikan mangsa politik.

Related posts

Leave a Comment