Operasi berterusan banteras judi haram

KUALA LUMPUR 15 Mei – Semua ketua polis daerah (KPD) diperingatkan untuk melaksanakan tanggungjawab membanteras kegiatan jenayah, termasuk memastikan tiada aktiviti judi haram di daerah masing-masing.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Ayob Khan Mydin Pitchay, berkata pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana KPD yang gagal melaksanakan tanggungjawab itu.

Sambil mendedahkan ada segelintir KPD tidak berpuashati dengan arahan berkaitan operasi pembanterasan kegiatan judi itu, beliau mengingatkan aku janji yang ditandatangani setiap bulan oleh KPD adalah amanat yang perlu dilaksanakan.

“Bila saya masuk ke JSJ, saya sudah bagi arahan kepada semua ketua jabatan (JSJ) di peringkat Bukit Aman, kontinjen, KPD, Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (KBSJD) serta Pegawai Risikan Operasi (RO).

Saya ada buat mesyuarat dengan mereka semua. Arahan saya jelas iaitu untuk memastikan operasi berterusan dibuat ke atas pusat judi (judi haram),” katanya selepas Majlis Serah Terima Tugas Jawatan Ketua Polis Kuala Lumpur di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Pada majlis itu,  Mohd Shuhaily Mohd Zain, menerima tugas sebagai Ketua Polis Kuala Lumpur yang baharu daripada Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Abu Samah Mohd Noor.

Menurut Ayob Khan, beliau tahu ada segelintir KPD di ibu negara tidak berpuashati dengan arahan beliau berkaitan operasi pembanterasan kegiatan judi itu.

“Saya ada menerima maklumat bahawa ada dalam kalangan KPD Kontinjen Kuala Lumpur tidak berpuas hati apabila saya menghantar Task Force Bahagian Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) dari JSJ Bukit Aman untuk mengambil tindakan ke atas premis judi.

“Sepatutnya, semua KPD yang setiap bulan menandatangani aku janji memastikan tiada sebarang aktiviti judi di daerah masing-masing, berpegang teguh kepada aku janji itu.

“Aku janji ditandatangani KPD setiap bulan, ia bukan satu perkara yang baharu. Saya hanya mahu memastikan ada pelaksanaan (operasi), bukan setakat aku janji. Janganlah aku janji itu dianggap sebagai satu kertas tisu yang tiada nilai,” katanya.

Beliau menambah, pihaknya akan memastikan aku janji itu dilaksanakan oleh KPD dan jika ia gagal dilaksanakan, mereka akan dikenakan tindakan dan perkara itu dipersetujui pucuk pimpinan PDRM.

Ayob Khan mengakui, kegiatan judi haram masih berleluasa dan usaha untuk membanterasnya akan memakan masa, di mana operasi secara berterusan perlu dilakukan.

Katanya, Polis Diraja Malaysia perlu konsisten menjalankan operasi dan perlu ada kolaborasi mantap dengan agensi lain seperti pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB).

“Ada kita terima aduan daripada masyarakat mengatakan hari ini polis buat operasi, esok kedai (judi) sudah beroperasi semula.

“Pihak PBT mungkin ambil masa sedikit untuk batalkan lesen kerana biasanya mereka akan menunggu keputusan mahkamah tetapi TNB biasanya ambil tindakan cepat untuk memotong bekalan elektrik,” katanya.

Beliau berkata, kekurangan pemantauan dan penyeliaan di peringkat polis kontinjen negeri dan daerah menyebabkan kegiatan judi haram masih berleluasa.

(Foto PDRM)

Related posts

Leave a Comment