Kerajaan Madani digesa tamatkan amalan lapuk

KUALA LUMPUR 11 Mei –  Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) menggesa Kerajaan Madani menamatkan amalan lapuk membabitkan pembiayaan operasi parti kerajaan dan memberi ganjaran kepada pemimpin melalui jawatan dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan badan berkanun.

Dalam kenyataannya, Bersih menegaskan kerajaan harus membentuk sistem pendanaan awam parti politik yang demokratik, adil dan berakauntabiliti, berdasarkan keperluan parti kerajaan dan pembangkang.

Menurut kenyataan itu, disebabkan konflik kepentingan, pelantikan wakil rakyat ke dalam badan berkanun perlu diminimumkan.

Malah mereka yang dilantik perlu tertakluk kepada pemantauan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen rentas parti bagi memastikan objektif badan itu dipenuhi, seperti menteri dan timbalan menteri yang dipantau Ahli Parlimen lain.

“Ia adalah salah guna perjawatan awam dan amanah, malah hampir kepada rasuah, jika kerajaan hanya melantik mana-mana penggerak parti seperti bekas pembantu kepada pemimpin tertinggi ke dalam badan berkanun, hanya untuk membiayai kerja politik mereka.

Kami maklum bahawa parti perlu membiayai penggerak parti sepenuh masa, namun gaji mereka perlu dibiayai parti atau entiti yang berkaitan mereka, bukannya dengan wang rakyat.

“Pada masa sama, parti politik sepatutnya layak mendapat subsidi tahunan daripada pembayar cukai, berdasarkan jumlah undi mereka dalam pilihan raya di Persekutuan dan negeri,” kata kenyataan itu.

Bersih mengulas pelantikan lima pengerusi badan berkanun di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), berkuat kuasa Isnin depan.

Mereka terdiri daripada bekas Ahli Parlimen Pokok Sena,  Mahfuz Omar, yang dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP); Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Pasir, Muhammad Faiz Fadzil sebagai Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan ADUN Paloh, Sheikh Umar Bagharib Ali sebagai Pengerusi Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM).

Selain itu, bekas Ahli Parlimen Kuala Kedah, Dr Azman Ismail sebagai Pengerusi Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dan ADUN Behrang, Aminuddin Zulkipli sebagai Pengerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).

Menurut Bersih, berbeza dengan wakil rakyat yang dilantik ke dalam GLC dan pada masa sama menjadi penggubal undang-undang, lantikan politik dalam badan berkanun dilihat lebih munasabah.

Ini kerana ia diyakini selari dengan hala tuju dasar kerajaan, namun perlu mempunyai kelayakan yang bersesuaian dengan badan berkanun berkenaan.

“Kejayaan dan kegagalan badan berkanun adalah tanggungjawab mereka yang dilantik dan kerajaan yang melantik mereka, termasuk jika berlaku sebarang salah guna kuasa atau rasuah,” kata Bersih.

Related posts

Leave a Comment