SAM gesa batalkan terus PSI

TANJONG : Sahabat Alam Malaysia (SAM) menggesa kerajaan negeri membatalkan terus Projek Pulau Pinang Selatan (PSI) walaupun pengecilannya hanya melibatkan pembinaan Pulau A yang dinamakan Pulau Silikon.

Presidennya, Meenakshi Raman berkata, tambakan laut seluas 930.8 hektar bagi PSI masih berskala besar dan tetap memberi impak buruk terhadap ekosistem laut.

Sehubungan itu, SAM menolak keputusan menturangkan jumlah pulau daripada tiga kepada satu memandangkan kawasan penambakan masih sangat besar, sekali gus menjejaskan kawasan perikanan dan alam sekitar.

“Selain itu, ia membabitkan jumlah pengambilan pasir yang banyak dari perairan Pulau Pinang dan Perak yang dikhuatiri mengakibatkan lebih banyak kemusnahan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Meenakashi menegaskan adalah tidak benar hanya sebilangan kecil nelayan akan terjejas kerana projek berkenaan dilihat bakal memusnahkan dataran lumpur, terumbu karang, menjejaskan habitat marin dan mengganggu penghijrahan udang.

Katanya, meskipun skala pembinaan pulau buatan itu dikecilkan, ia akan tetap menjejaskan nelayan di sepanjang perairan Pulau Pinang, Kedah dan Perak.

Beliau turut berpandangan, tiada keperluan untuk kerajaan negeri meneruskan PSI kerana Kerajaan Persekutuan telah bersetuju menambah dana dalam satu skim besar bagi membolehkan projek Transit Aliran Ringan (LRT) segera dilaksanakan di negeri ini.

“Tiada sebarang justifikasi untuk itu (PSI) dan kita mempunyai tanah di Seberang Perai, seperti yang diakui sendiri Ketua Menteri, seluas 12,000 hektar. Jadi batalkan PSI, bukan kecilkannya,” katanya.

Terdahulu, Ketua Menteri, Chow Kon Yeow mengumumkan pembatalan bagi Pulau B dan Pulau C dalam Projek PSI di mana pengurangan itu membabitkan 49 peratus daripada keseluruhan tiga pulau kepada sebuah pulau sahaja.

Sementara itu, Persatuan Nelayan Pulau Pinang (PEN Mutiara) menyifatkan keputusan kerajaan negeri mengecilkan skala PSI tidak bermakna kerana tambakan itu tetap menjejaskan mata pencarian mereka.

Pengerusinya, Ibrahim Che Ros, berkata Pulau A atau dikenali sebagai Pulau Silikon seluas 930.8 hektar yang bakal dibina terletak kira-kira satu kilometer dari Pulau Rimau yang kaya dengan hasil laut seperti udang, ikan bawal putih dan senangin.

Beliau berkata, apabila Pulau A siap, nelayan tidak lagi boleh memasuki kawasan berkenaan buat selama-lamanya memandangkan projek pembangunan pulau buatan itu bersifat kekal meliputi kawasan luas di atas permukaan laut.

Katanya, kawasan itu juga sering berlaku percubaan menceroboh oleh bot pukat tunda, menunjukkan memang banyak ikan.

Ibrahim berkata projek tambakan laut terbabit tidak boleh disamakan dengan projek pembinaan Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah yang menyaksikan hasil laut kembali selepas kira-kira tiga tahun.

Beliau berkata, pihaknya akan menganjurkan perhimpunan awam bagi membantah projek terbabit pada Ahad yang turut disokong beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan aktivis alam sekitar.

Related posts

Leave a Comment