KUALA LUMPUR 8 Mei – Konvensyen Kerajaan Perpaduan yang pertama bakal berlangsung pada 14 Mei ini yang akan disertai parti-parti komponen Kerajaan Perpaduan, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Katanya, pelbagai program diadakan yang turut mengundang Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) dan Parti Bangsa Malaysia (PBM).
Pada sebelah pagi akan diadakan Konvensyen Wanita dan Konvensyen Pemuda.
Konvensyen Wanita akan dihadiri Timbalan Perdana Menteri, Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Konvensyen Pemuda diwakili Timbalan Perdana Menteri, Fadhillah Yusof.
Bercakap pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Perundingan Pimpinan Kerajaan Perpaduan di Menara Datuk Onn, di sini, malam tadi, beliau berkata, ketua-ketua parti akan berucap pada sebelah petang.
Mesyuarat malam tadi turut dihadiri Pengerusi BN yang juga Presiden UMNO, Dr Ahmad Zahid Hamidi; Ketua Whip Gabungan Parti Sarawak (GPS), Fadhillah Yusof dan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke.
Mesyuarat juga disertai Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail; Presiden MIC, VA Vigneswaran; Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Jeffrey Kitingan dan Presiden Warisan, Mohd Shaife Apdal.
Mengenai agenda konvensyen sulung itu, Anwar berkata, ia untuk memanfaatkan semangat perpaduan demi melancarkan pelaksanaan agenda rakyat.
Tambahnya, ia juga satu percubaan untuk merapatkan kaum dan wilayah seperti yang pernah dilakukan oleh dua bekas Perdana Menteri.
“Tumpuan perbincangan adalah menilai keberkesanan dan meneruskan dengan program lebih berkesan bagi semangat inklusif semua kaum dan semua wilayah dengan tunduk kepada prinsip perlembagaan yang telah disepakati.
“Kemudian, menentukan program Madani dan merakyatkan ekonomi ini supaya dapat berjalan dengan berkesan.
“Jadi mesej kita adalah mesej ke seluruh negara bahawa inilah sesuatu percubaan yang unik dalam sejarah, mengulangi mungkin peringkat awal kemerdekaan pada zaman Almarhum Tunku Abdul Rahman dan mungkin percubaan kedua oleh Tun Abdul Razak (Hussein) untuk cuba merapatkan permuafakatan kaum serta wilayah.
“Cubaan kali ini harus dipastikan ia berkesan, berhasil kerana akan menjamin kesinambungan dan kelangsungan. Lebih penting agenda rakyat itu dapat dilaksanakan dengan cukup berkesan,” katanya.
