MUAR 7 Mei – DAP akan terus menyokong kepemimpinan Chow Kon Yeow sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang sehingga Pilihan Raya Negeri (PRN) berkenaan diadakan, kata Setiausaha Agung, Anthony Loke.
Katanya, sebarang perbincangan mengenai kedudukan Ketua Menteri itu hanya akan dilakukan apabila PRN diadakan dan setakat ini kerajaan Pulau Pinang masih berfungsi seperti biasa menerusi kepimpinan Kon Yeow.
“Bila sampai Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti, baru kita bincang semula tentang jawatan Ketua Menteri Pulau Pinang.
Sekarang ini Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang masih belum dibubarkan. Oleh itu, kerajaan negeri di sana masih berfungsi seperti biasa. DAP masih mendukung kepimpinan Kon Yeow untuk terus menerajui negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Konvensyen DAP Johor, di sini, hari ini.
Hadir sama Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong; Timbalan Pengerusi DAP Johor, Teo Nie Ching; Naib Pengerusi DAP Johor, Sheikh Umar Bagharib Ali dan veteran DAP, Lim Kit Siang.
Sebelum ini sebuah portal berita mendakwa kononnya terdapat desakan dari dalam DAP untuk menyekat Kon Yeow daripada kembali menjadi Ketua Menteri selepas PRN akan datang.
Laporan berkenaan mendakwa, Pengerusi DAP, Lim Guan Eng bakal kembali menerajui kerajaan negeri selepas mendakwa Kon Yeow dilihat tidak berkesan sebagai ketua menteri.
Kelmarin, media melaporkan mana-mana bekas ketua menteri Pulau Pinang yang berkhidmat selama dua penggal sebelum atau selepas pindaan Perlembagaan Negeri berkuat kuasa, tidak boleh dilantik semula ke jawatan sama.
Kon Yeow dilaporkan berkata Perkara 7 Fasal 2 (a)(ii) Perlembagaan Negeri Pulau Pinang memperuntukkan ketua menteri hendaklah dilantik dalam kalangan individu yang tidak pernah pada bila-bila masa memegang jawatan itu bagi dua penggal.
“Undang-undang itu jelas dan ia bukan sahaja mengikat saya pada masa hadapan tetapi (turut) mengikat mana-mana ketua menteri yang sudah berkhidmat selama dua penggal pada bila-bila masa.
“Peraturan utama dalam mentafsir Perlembagaan ialah apabila bahasa yang digunakan adalah jelas dan tiada pertimbangan luar perlu dirujuk untuk membantu mencari maksud dalam mentafsir Perlembagaan itu.
“Ini kesimpulan yang boleh kita sampaikan kepada rakyat atau pihak yang tidak pasti dan kita pun selalu mendapat pertanyaan mengenai isu ini,” katanya.
