KHARTOUM: Dua pemimpin tentera Sudan yang berbalah bersetuju secara prinsip semalam untuk menguatkuasakan gencatan senjata selama tujuh hari, setelah pelbagai pihak mengutuk pencabulan gencatan yang dipersetujui sebelum ini.
Menurut kenyataan Kementerian Luar Sudan Selatan di Juba, Panglima tentera Sudan Abdel Fattah al-Burhan dan timbalannya yang kini menjadi seterunya, Mohamed Hamdan Daglo yang menerajui Rapid Support Forces (RSF), bersetuju secara prinsip untuk melaksanakan gencatan senjata antara 4 Mei hingga 11 Mei.
Pada masa yang sama usaha diplomatik diperhebatkan untuk menamatkan perang yang sudah berlarutan selama lebih dua minggu di negara ketiga terbesar di Afrika itu ketika amaran akan berlaku krisis kemanusiaan yang sangat besar.
Setakat ini, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melaporkan lebih 430,000 penduduk Sudan terpaksa meninggalkan rumah masing-masing, manakala beratus-ratus terkorban dan beribu-ribu yang lain cedera dalam konflik bersenjata itu.
Beberapa gencatan senjata yang dipersetujui sejak pertempuran tercetus pada 15 April tidak dipatuhi, termasuk gencatan senjata yang diumumkan oleh Sudan Selatan pada awal peringkat perang.
Pencabulan gencatan senjata sebelum ini mengundang kecaman masyarakat antarabangsa pada awal Selasa sewaktu mesyuarat di Addis Ababa, Habsyah mengenai Mekanisme Diperluas bagi Krisis Sudan yang menghimpunkan para wakil dari Afrika, Arab, PBB dan utusan-utusan lain.
Kedua-dua pemimpin itu bersetuju untuk menguatkuasakan gencatan senjata – dengan yang terkini pada 31 April tetapi terus bertempur dan membedil bandar.
