KHARTOUM: Konflik di Sudan boleh memaksa 800,000 orang menjadi pelarian berikutan pertempuran antara puak tentera bertelagah berterusan di ibu negara walaupun gencatan senjata dipersetujui.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang memberi amaran itu berkata, penduduk Sudan berjumlah sekitar 46 juta orang dan kira-kira 73,000 sudah meninggalkan negara itu.
Ratusan orang terbunuh dan ribuan lagi cedera dalam pertempuran selama 16 hari sejak pertikaian antara tentera Sudan dan kumpulan separa tentera, Pasukan Tindakan Pantas (RSF) meletus menjadi konflik pada 15 April.
Krisis itu mencetuskan bencana kemanusiaan, membawa kemusnahan ke Khartoum, selain berisiko menarik campur tangan kuasa serantau dan mencetuskan semula konflik di wilayah Darfur.
Ramai terpaksa meninggalkan negara berikutan bimbang nyawa mereka terancam dalam perebutan kuasa antara ketua tentera dan ketua RSF, yang berkongsi kawalan kerajaan selepas rampasan kuasa pada 2021.
Bagaimanapun, kedua pihak berselisih mengenai peralihan yang dirancang kepada pemerintahan awam, susulan kedua-dua pasukan itu disyorkan bergabung.
Ahad lalu, kedua-dua pihak bersetuju melanjutkan gencatan senjata, yang sebahagian besarnya tidak dipatuhi, selama 72 jam dan pasukan saingan mungkin mengadakan rundingan gencatan senjata di Arab Saudi.
Pegawai PBB, Raouf Mazou, berkata pihak agensi pelarian badan itu merancang untuk memindahkan 815,000 orang termasuk 580,000 warga Sudan serta pelarian asing yang kini menetap di negara itu.
Sementara itu, Mesir melaporkan 40,000 rakyat Sudan menyeberangi sempadan negaranya dan mereka menempuhi perjalanan itu dalam keadaan sukar manakala selebihnya ke Chad, Sudan Selatan dan Ethiopia atau belayar melintasi Laut Merah ke Arab Saudi dengan menaiki bot penyelamat.
Kementerian Kesihatan Sudan, melaporkan sekurang-kurangnya 528 orang terbunuh dan 4,599 cedera sementara PBB melaporkan jumlah kematian yang sama tetapi angka sebenar dikhuatiri adalah jauh lebih tinggi.
