BANGKOK: Calon Perdana Menteri bagi pilihan raya Umum (PRU) Thailand Paetongtarn Shinawatra, selamat melahirkan seorang bayi lelaki, iaitu dua minggu sebelum pemilihan berlangsung.
Paetongtarn, 36, yang juga dikenali gelaran ‘Ung Ing’ adalah salah seorang daripada tiga calon perdana menteri dari Parti Pheu Thai pada PRU 14 Mei ini di mana tinjauan pendapat menunjukkan beliau menduduki tempat pertama atau kedua.
Anak bongsu kepada bekas Perdana Menteri, Thaksin Shinawatra itu memuat naik gambar bersama pasangannya dan bayi mereka yang diberi nama Prutthasin Sooksawas di media sosial semalam.
“Hello, nama saya Prutthasin Sooksawas, nama panggilan Thasin. Terima kasih atas sokongan anda semua.
“Dalam beberapa hari lagi, tunggu ibu saya kembali pulih, saya akan berjumpa dengan media,” menurut hantaran itu.
Sementara itu, dalam ciapan melalui @ThaksinLive, Thaksin berkata beliau akan meminta kebenaran untuk kembali ke tanah air kerana mahu menjaga cucunya.
Bekas perdana menteri itu berkata beliau sangat gembira menerima berita mengenai kelahiran cucu ketujuhnya, namun beliau berkata semua cucunya dilahirkan semasa beliau hidup dalam buangan.
“Saya akan meminta izin untuk pulang menjaga cucu memandangkan usia saya akan mencecah 74 tahun Julai ini. Jumpa lagi,” kata Perdana Menteri dari 2001 hingga 2006 itu menerusi ciapan di Twitter.
Thaksin hidup dalam buangan sejak 2008, menghabiskan sebahagian besar masanya di Dubai selepas kerajaannya digulingkan oleh tentera yang diketuai Jeneral Sonthi Boonyaratglin semasa beliau menghadiri Perhimpunan Agung PBB (UNGA) di New York pada September 2006.
Beliau meninggalkan Thailand pada Ogos 2008 untuk mengelak daripada berdepan hukuman penjara.
Mahkamah Agung menjatuhkan hukuman penjara dua tahun tanpa kehadirannya kerana salah guna kuasa.
Sementara itu, adik Thaksin dan bekas Perdana Menteri, Yingluck Shinawatra, turut mengucapkan tahniah kepada Paetongtarn dan suaminya di atas kelahiran bayi kedua mereka.
Yingluck juga hidup dalam buangan selepas kerajaannya digulingkan dalam rampasan kuasa tentera yang diketuai oleh Jeneral Prayut Chan-o-cha.
