PUTRAJAYA 1 Mei – Dr Malar Santhi Santherasegapan yang sering berkongsi tips kesihatan melalui ‘Celoteh Dr Malar’ terutama semasa pandemik Covid-19 dipilih sebagai penerima Anugerah Pekerja Contoh pada Sambutan Hari Pekerja 2023 hari ini.
Celoteh doktor di Jabatan Kecemasan Hospital Columbia Asia, Cheras, Selangor, itu mendapat sambutan di semua platform media sosial terutama di Facebook dan TikTok serta dikenali ramai di sejak Mac 2020.
Beliau aktif berkongsi tips mengenai Covid-19 dan vaksin dengan penyampaian dalam bahasa Melayu dan dengan cara yang lebih mudah difahami.
Mengulas penerimaan anugerah itu, Dr Malar yang berusia 40 tahun itu menganggap ia sebagai pemangkin semangat untuk terus berkongsi tips kesihatan berguna kepada rakyat di negara ini.
Beliau yang menerima anugerah itu daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menganggap ia sebagai tanggungjawab sosial kepada rakyat khususnya dalam berkongsi tips kesihatan.
“Saya mahu terus berkongsi maklumat kesihatan kepada orang ramai dengan cara paling mudah, santai dan senang difahami menerusi media sosial.
“Kalau boleh saya nak kurangkan kesesakan di hospital dengan memberi ilmu serta tips kesihatan kepada orang ramai,” katanya pada Majlis Sambutan Hari Pekerja 2023 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, hari ini.
Beliau sedar rakyat dahagakan maklumat kesihatan dalam Bahasa Melayu dan cara penyampaian yang lebih mudah.
Dr Malar turut berterima kasih kepada kerajaan di atas penghargaan berkenaan serta kepada insan di sebalik Celoteh Dr Malar termasuk ibu bapa, suami serta dua pengurus.
Ketika ini, anak kelahiran Kuantan, Pahang itu banyak terbabit dalam aktiviti seminar kesihatan dan latihan berkenaan menjaga kesihatan mental.
Katanya, bidang utama adalah berkaitan kesihatan mental, penyakit kronik, kanser, kencing manis, darah tinggi dan penjagaan kesihatan wanita.
Beliau sebelum ini melanjutkan pengajian dalam Sarjana Pengurusan Pentadbiran dalam bidang Pengurusan Penjagaan Kesihatan di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), dan pernah belajar di Universiti Perubatan Krimea (CSMU), Ukraine.
(Foto FB Dr Malar)
