Muda tegas tolak pengampunan Najib

KUALA LUMPUR 1 Mei – Selepas pemimpin Amanah menyarankan supaya Lembaga Pengampunan menolak permohonan pengampunan bekas Perdana Menteri, Najib Razak, Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) pula berpendirian demikian.

Dalam satu kenyataan hari ini, Jawatankuasa Eksekutif Pusat Muda, menegaskan ia membantah sebarang gerakan untuk menyelamatkan mana-mana pemimpin dirujuknya ‘kleptokrat’ yang didakwa menyusahkan dan menggadai negara.

Menurut kenyataan itu, Najib didapati bersalah bukan terhadap satu, tetapi tujuh pertuduhan yang jika diberi pengampunan bakal memberikan mesej salah kepada rakyat Malaysia.

“Adakah rakyat biasa yang didapati bersalah atas jenayah sama, akan diberi keistimewaan ini?” menurut kenyataan itu.

Menurut jawatankuasa berkenaan, pengampunan ke atas Najib, yang baru menjalani hukuman penjara akan membawa mesej bahawa mana-mana individu berpengaruh, yang mempunyai hubungan kuasa, tidak perlu gusar dengan undang-undang.

Ini bercanggah dengan prinsip Rukun Negara, iaitu kedaulatan undang-undang. MUDA akan terus memerangi mana-mana gerakan yang mahu menyelamatkan kleptokrat, termasuk pihak yang cuba mencabar integriti badan kehakiman negara.

“Sekali lagi kami ingin menjelaskan bahawa ini adalah pendirian rasmi parti dan bukan pandangan atau pendapat peribadi individu dalam parti. Kami tidak bercadang memohon maaf atas pendirian ini,” katanya.

Najib, 69, kini menjalani hukuman penjara 12 tahun selepas Mahkamah Persekutuan pada Mac lalu, menolak permohonannya untuk menyemak semula sabitan dan hukuman dikenakan berhubung kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd.

Related posts

Leave a Comment