Pengampunan: Zahid minta bertenang

PUTRAJAYA 30 April – Presiden UMNO, Dr Ahmad Zahid Hamidi yakin Lembaga Pengampunan akan memikirkan waktu paling sesuai bagi membincangkan isu pengampunan bekas Perdana Menteri, Najib Razak.

Sehubungan itu, Zahid meminta ahli UMNO bertenang dan menunggu kenyataan lanjut daripada Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) selaku urus setia lembaga terbabit.

Timbalan Perdana Menteri itu berkata, sidang Lembaga Pengampunan telah berlalu 28 April lalu dan tiada agenda pengampunan Najib kerana Lembaga Pengampunan memikirkan bahawa akan ada waktu paling sesuai untuk memasukkan agenda itu.

“Kita tunggulah sebarang kenyataan daripada BHEUU JPM yang menjadi sekretariat kepada Lembaga Pengampunan ini,” katanya pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Timbalan Perdana Menteri, di sini hari ini.

Katanya, pendirian UMNO untuk memohon pengampunan terbabit seperti kenyataan Setiausaha Agung, Dr Asyraf Wajdi Dusuki selepas mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) pada 7 April lalu adalah pendirian rasmi parti.

“Itu tanggungjawab kami sebagai sebuah parti yang pernah beliau (Najib) ketuai dan tentu ini adalah pendirian untuk dihormati oleh pihak lain, terutama rakan-rakan dalam komponen Kerajaan Perpaduan,” katanya.

Kelmarin, Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Abd Samad merayu Yang di-Pertuan Agong dan Lembaga Pengampunan agar menolak permohonan bekas Perdana Menteri itu untuk diampun dan dibebaskan dari penjara.

Susulan itu, UMNO Kelantan melalui Ketua Penerangannya,  Zawawi Othman semalam memberi kata dua kepada Khalid, sama ada memohon maaf atau berdepan penarikan balik kerjasama antara parti di negeri itu.

Bagaimanapun, Timbalan Presiden Amanah, Salahuddin Ayub ketika ditemui media pada majlis rumah terbuka Timbalan Perdana Menteri petang tadi, memaklumkan parti itu memohon maaf kepada UMNO atas keterlanjuran kenyataan Khalid.

Related posts

Leave a Comment