SEPANG: Laluan lebih jauh sehingga 1,300 kilometer (km) ke Pelabuhan Sudan menjadi pilihan demi memastikan kesemua rakyat Malaysia dibawa keluar dari Khartoum dalam keadaan selamat.
Duta Besar Malaysia ke Sudan, Mohamad Razdan Jamil, berkata pihaknya mempunyai pilihan laluan lebih dekat sekitar 800 km.
Bagaimanapun pihaknya melakukan penilaian dalam memilih laluan keluar yang paling kurang berisiko dan bukan laluan yang menjadi sasaran serang hendap Angkatan Tentera Sudan (SAF) dan Rapid Support Forces (RSF).
“Selepas kawasan kediaman Rumah Malaysia di Khartoum terdedah kepada serangan dan peluru sesat kesan pertempuranSAF dan RSF,kami memutuskan supaya semua rakyat Malaysia dibawa keluar.
“Kami membuat penilaian sebelum memilih laluan yang dengan situasi paling kurang risiko dan tidak meletakkan konvoi dalam situasi serangan. Ini kerana penting untuk mencari laluan yang bukan jadi perebutan antaran dua pihak berkonflik.
Jadi, kami memutuskan untuk memilih laluan yang jauh ke Pelabuhan Sudan berbanding laluan yang lebih pendek yang hanya sekitar 800 km atas faktor keselamatan,” katanya pada sidang media di sini, semalam.
Beliau berkata, jalan utama yang dipilih untuk ke arah selatan negara (ke Pelabuhan Sudan) itu melalui kawasan Wad Madani dan Qasala.
“Jadi masalah utama adalah keadaan jalan yang teruk dan penuh lubang, jadi pemandu yang diambil adalah dari wilayah itu sebab lebih faham keadaan laluan.
Setiap 50 hingga 80 km akan ada pos pemeriksaan ‘checkpoint’ tentera, cuma kita tidak tahu pihak mana yang mengawal tapi hampir sepanjang laluan dikawal oleh tentera negara Sudan.
“Pemandu kami juga mempunyai hubungan baik dengan pihak yang menjaga pos pemeriksaan ini, jadi ini memudahkan perjalanan konvoi,” katanya selepas mengetuai rakyat 30 rakyat Malaysia termasuk pelajar di Sudan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada pukul 2.54 petang semalam.
Sebelum itu, mereka terlebih dahulu menempuh perjalanan darat yang sukar, sejauh 1,233 km selama 30 jam, dari Khartoum untuk tiba di Pelabuhan Sudan.
Beliau berkata, perjalanan itu turut diiringi konvoi keselamatan kerajaan Emiriyah Arab Bersatu (UAE).
“Alhamdulillah perjalanan lancar, sepanjang laluan kalau ada risiko yang perlu kami ambil adalah berapa lama perlu bergerak kita tidak tahu, kerana keadaan sentiasa berubah, kami sepatutnya tiba pada jam 3 pagi pada 24 April di Pelabuhan Sudan tapi hanya sampai 12 jam kemudian.
“Ini kerana di Sudan kita tidak dibenarkan berada di jalanan selepas tengah malam hingga jam 4 pagi. Kita tidak dinasihatkan untuk berhenti kerana soal keselamatan namun atas sebab tertentu kita bermalam di Qasala.
“Apabila sampai di Pelabuhan Sudan, konvoi juga berdepan pemeriksaan keselamatan yang sangat ketat namun akhirnya segalanya dipermudahkan,” katanya.
Selain itu Mohamad Razdan berkata, beliau berterima kasih atas bantuan semua pegawai kedutaan di sana yang banyak membantu dalam melakukan penilaian dan keputusan.
“Tanpa pasukan saya, kita tidak dapat melakukan operasi ini, saya berterima kasih kepada mereka yang melakukan penilaian yang baik dan membolehkan keputusan diambil,” katanya.
