Dr. Muhammad Radzi ganti Dr Noor Hisham

PUTRAJAYA 25 April – Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Penyelidikan dan Sokongan Teknikal) Kementerian Kesihatan (KKM), Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan dilantik sebagai Ketua Pengarah Kesihatan yang baharu.

Pelantikan Dr Muhammad Radzi yang berkuat kuasa 21 April lalu bagi menggantikan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah yang bersara wajib pada 21 April lalu.

Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa dalam satu kenyataan berkata pelantikan Dr Muhammad Radzi berdasarkan kelayakan dan pengalaman luasnya dalam bidang perkhidmatan kesihatan negara ini.

Katanya, sebelum menjadi Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Penyelidikan dan Sokongan Teknikal), Dr Muhammad Radzi juga pernah menjawat jawatan sebagai Ketua Jabatan Perubatan di Hospital Sultanah Bahiyah, Kedah.

Selain itu Dr Muhammad Radzi juga pernah dilantik sebagai Ketua Penyelaras Perubatan Negeri Kedah, Ketua Pusat Penyelidikan Klinikal Kedah, Ketua Perkhidmatan Gastroentrologi dan Hepatologi serta menjadi pengerusi pentauliahan bidang kepakaran ini dari tahun 2013 sehingga 2021.

“Saya yakin dengan pengalaman, pengetahuan, kepakaran serta kredibiliti Dr Radzi mampu memberikan yang terbaik dan menjadi rakan pasukan bersama saya.

Seterusnya dapat memastikan matlamat dan agenda reformasi kesihatan negara dilaksanakan secara menyeluruh selaras dengan Kertas Putih Kesihatan yang sedang dibangunkan supaya masyarakat Malaysia MADANI dapat terus menikmati perkhidmatan kesihatan yang komprehensif, berkualiti serta mapan,” katanya.

Related posts

Leave a Comment