1,504 kes harian tertinggi di Singapura

SINGAPURA 24 Sept. – Singapura melaporkan jumlah kes harian Covid-19 tertinggi dengan merekodkan 1,491 kes tempatan setakat pukul 12 tengah hari semalam yang meliputi 1,218 jangkitan dalam masyarakat dan 273 penghuni asrama pekerja.

Jumlah kes itu sekali gus mengatasi angka 1,457 yang dilaporkan setakat tengah hari Rabu dan menjadikan jumlah keseluruhan 82,856 kes.

Semalam dua kematian baharu turut dilaporkan, menjadikan keseluruhan angka korban Covid-19 di sini sebanyak 70.

Menurut Kementerian Kesihatan, kes kematian pertama melibatkan seorang wanita rakyat Singapura berusia 93 tahun yang diuji positif bagi Covid-19 pada 17 September dan belum mendapatkan vaksin.

Wanita itu mempunyai sejarah menghidap penyakit jantung, kencing manis melitus, penyakit darah tinggi dan hiperlipidaemia.

Kes kematian kedua iaitu seorang wanita rakyat Singapura berusia 71 tahun, diuji positif Covid-19 semalam dan meninggal dunia pada hari yang sama. Beliau belum mendapatkan vaksin dan mempunyai sejarah menghidap barah.

Dalam kenyataan malam tadi, MoH menyatakan, kes-kes baharu semalam melibatkan 343 warga emas berusia 60 tahun dan ke atas.

Sebanyak 13 kes import juga dilaporkan, menjadikan keseluruhan jumlah kes dilaporkan hari ini sebanyak 1,504, iaitu jumlah tertinggi sejak pandemik bermula awal tahun lalu.

Sementara itu, sebanyak 1,120 pesakit mendapatkan rawatan di hospital, kebanyakan berada dalam keadaan baik dan di bawah pemantauan.

Sebanyak 163 kes jangkitan serius memerlukan bantuan oksigen tambahan dan 23 berada dalam keadaan kritikal di unit jagaan rapi (ICU).

Dalam kalangan mereka yang jatuh sakit teruk adalah 155 warga emas berusia 60 tahun dan ke atas.

Sebanyak 289 kes memerlukan bantuan oksigen tambahan dan 29 di ICU dan dalam kalangan jumlah itu, 53.8 peratus sama ada sudah menerima vaksin penuh dan lagi 46.2 peratus sama ada sudah menerima satu dos vaksin atau belum lagi divaksin.

Related posts

Leave a Comment