Naik usia kenderaan masih bersyarat

PUTRAJAYA 10 April – Kenaikan had usia 15 tahun ke atas semua kenderaan e-hailing di seluruh negara masih tertakluk kepada kelulusan pemeriksaan berkala bagi memastikan hanya kenderaan yang mematuhi syarat-syarat teknikal dan ciri-ciri keselamatan dilesenkan untuk beroperasi.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke pada satu sidang media berkata, pengendali kenderaan teksi dan e-hailing yang sudah mencapai had usia 10 tahun perlu membuat permohonan semula bagi membolehkan pelanjutan tempoh maksimum 15 tahun.

Katanya, dengan dasar baharu yang berkuatkuasa pada 1 Januari lalu, kerajaan membenarkan semua kenderaan yang berusia lebih 10 tahun, namun masih belum mencapai tempoh 15 tahun untuk kembali beroperasi.

“Pengendali kenderaan (teksi dan e-hailing) yang sudah mencapai tempoh lebih 10 tahun, mereka perlu membuat permohonan semula, saya jelaskan di sini, pelanjutan tempoh ini tidak semestinya membolehkan mereka terus memandu secara automatik, mereka perlu membuat permohonan semula,” katanya.

Selaras dengan pengumuman ini, had usia melesen akan dikemaskini kepada 14 tahun iaitu mana-mana kenderaan yang hendak dilesenkan bagi tujuan teksi dan e-hailing mesti berbuat demikian sekurang-kurangnya setahun sebelum had usia 15 tahun.

Loke berharap dengan dasar baharu ini, beban di atas bahu para pemandu teksi serta e-hailing dapat diringankan serba sedikit khususnya untuk golongan pemandu yang amat terkesan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Covid-19 dari tahun 2020 hingga tahun 2022.

“Sekiranya tempoh had usia dikekalkan pada 10 tahun, ramai pemandu terpaksa menanggung kos besar untuk membeli kendaraan yang baru dengan cara berhutang walaupun sumber pendapatan mereka masih tidak menentu,” tambahnya.

Related posts

Leave a Comment