Tidak semua boleh tanya soalan

KOTA BHARU 6 April – Ketidakhadiran tiga pemimpin utama Perikatan Nasional (PN) di Dewan Rakyat pada sesi soal jawab Perdana Menteri (PMQ) tidak perlu dijadikan isu kerana bukan semua orang boleh bertanya.

Timbalan Presiden Pas, Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata ada pihak yang memberi gambaran salah berhubung sesi PMQ

“Kadang-kadang mereka salah faham, sesi PMQ bukan semua orang boleh tanya, jika Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang hadir pun, bukan boleh tanya soalan.

“Orang yang kemukakan soalan bertulis dan selepas Perdana Menteri jawab, orang yang sama saja boleh bertanyakan soalan tambahan, bukannya orang lain boleh mencelah.

Ini kerana, prosedur dalam Parlimen bukan macam itu. Kita ada lebih 70 Ahli Parlimen dan perkara itu (isu ketidakhadiran) hanya sekadar mahu menampakkan keburukan pembangkang,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan bantuan kepada golongan asnaf di Kota Bharu, semalam.

Sebelum ini, Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil, mempertikaikan kegagalan tiga pemimpin utama pembangkang hadir di Dewan Rakyat, bagi bertanyakan soalan ketika sesi PMQ kelmarin.

Mereka ialah Ketua Pembangkang, Hamzah Zainudin; Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin dan Presiden Pas, Abdul Hadi Awang.

Fahmi yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai, berkata pembangkang khususnya pimpinan utama mereka seharusnya mengambil peluang terbaik untuk membangkitkan soalan, berdepan dan bersemuka dengan Perdana Menteri,  Anwar Ibrahim ketika sesi PMQ itu.

Related posts

Leave a Comment