Jenayah keji terhadap rakyat Palestin

PUTRAJAYA 6 April –  Komuniti antarabangsa terutama Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) digesa memastikan rejim Israel bertanggungjawab terhadap serbuan ke atas rakyat Palestin di Kompleks Masjid Al-Aqsa, semalam.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang menyifatkan serangan itu sebagai jenayah keji, juga mendesak Israel membebaskan segera semua tahanan Palestin yang ditahan semasa serbuan yang menyebabkan sekurang-kurangnya tujuh rakyat Palestin cedera.

“Masyarakat antarabangsa mesti menuntut rejim Israel menghentikan serta-merta sebarang tindakan provokasi demi kepentingan keamanan dan kestabilan.

“Malaysia terus menyokong kuat dalam bersolidariti bersama rakyat Palestin dan mengulangi pendirian bahawa status Al-Quds Al-Sharif sebagai tapak suci umat Islam,” katanya menerusi hantaran di Twitter hari ini.

Gesaan itu susulan tindakan tidak bertanggungjawab polis Israel menyerang puluhan jemaah di pekarangan Masjid al-Aqsa pada awal pagi sebelum subuh semalam yang didakwa tindak balas Israel terhadap rusuhan.

Menurut Bulan Sabit Merah Palestin, terdapat mangsa yang cedera dan pihak Israel dilapor menghalang pegawai perubatannya dari sampai ke Al-Aqsa.

Menurut laporan media, tentera Israel menyerbu Dewan Solat Al-Qibli di kompleks Masjid Al-Aqsa selepas solat tarawih, melepaskan bom pegun, memukul jemaah Palestin dan menahan kira-kira 350 jemaah.

Menurut Suruhanjaya Hal Ehwal Tahanan Palestin, polis Israel mula membebaskan tahanan dengan syarat mereka dipindahkan dari Masjid Al-Aqsa dan Kota Lama Baitulmuqaddis selama seminggu.

Israel menduduki Baitulmuqaddis Timur, kawasan terletaknya Al-Aqsa, semasa Perang Arab-Israel 1967. Ia menggabungkan seluruh bandar pada 1980 dalam satu langkah yang tidak pernah diiktiraf oleh masyarakat antarabangsa.

Related posts

Leave a Comment