Syed Ibrahim Pengerusi Bukan Eksekutif MDEC

CYBERJAYA 6 April – Ahli Parlimen Ledang, Syed Ibrahim Syed Noh dilantik sebagai Pengerusi Bukan Eksekutif Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), berkuat kuasa 1 April lalu.

MDEC dalam kenyataan hari ini, memaklumkan Syed Ibrahim berpengalaman luas dalam bidang telekomunikasi selama 25 tahun di Telekom Malaysia Bhd, iaitu dari 1989 hingga 2014 dengan jawatan terakhir ialah penolong pengurus besar.

“Beliau juga mempunyai pengalaman termasuk dalam bidang pengurusan perhubungan pelanggan, pengurusan projek, pemasaran dan jualan perdagangan, segmentasi dan analisis serta pengurusan teknologi maklumat dan sistem,” kata MDEC.

Syed Ibrahim, 59 memenangi Pilihan Raya Umum (PRU) lalu atas tiket Pakatan Harapan (PH) yang mewakili Parti Keadilan Rakyat (PKR). Beliau memenangi kerusi tersebut dengan majoriti 9,809 undi.

Pengerusi Majlis Pimpinan PKR sejak 2019 itu dilahirkan di Melaka, mendapat pendidikan tertinggi dengan kelayakan akademik Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA), St Louis University, St Louis, Missouri, USA pada 1987 hingga 1989.

Sebelum itu, bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Abu Bakar Kuantan ini telah melanjutkan pengajian dalam Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan, University of Wisconsin, Green Bay, USA  pada tahun 1982 hingga 1986.

Related posts

Leave a Comment