Tidak wajar keluarkan cecair vape daripada Akta Racun

KUALA LUMPUR 2 April – Kerajaan digesa menarik semula keputusan mengeluarkan cecair vape yang mempunyai nikotin daripada Akta Racun sehingga Parlimen meluluskan Rang Undang- Undang Kawalan Produk Tembakau dan Merokok yang akan mewujudkan Generasi Penamat Rokok dan Vape yang lahir selepas tahun 2007.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Dr Akmal Saleh berkata, ketetapan kerajaan berhubung perkara itu ketika ini disifatkan satu tindakan yang tidak bijak dan tidak wajar.

Dr Akmal berkata, implikasi terhadap kesihatan rakyat dalam jangka masa yang panjang adalah jauh lebih penting dari keuntungan yang diperoleh hasil dari pungutan cukai ke atas cecair vape ini.

“Penarikan cecair yang mempunyai nikotin dari Akta Racun ini seolah lesen besar membenarkan rakyat Malaysia tanpa mengira umur untuk mengambil nikotin tanpa sebarang bentuk garis panduan.

“Kebimbangan Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia sekiranya tiada garis panduan yang jelas, ia memberikan kesan yang besar khususnya kepada golongan muda untuk terdedah kepada pengambilan nikotin tanpa kawalan,” katanya dalam satu kenyataan.

Justeru, Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia mencadangkan agar keputusan ini dinilai dan ditarik semula supaya kesan buruk jangka masa panjang terhadap kesihatan rakyat dapat dikurangkan.

“Rasional terhadap cadangan ini adalah Akta GEG perlu dilaksanakan terlebih dahulu barulah Kerajaan wajar mengeluarkan cecair vape yang bernikotin ini dari Akta Racun agar cukai yang tinggi boleh dikenakan ke atas pengguna tidak tergolong di dalam generasi penamat,” katanya.

Dr. Akmal berharap cadangan itu dipertimbangkan secara serius oleh Kementerian Kesihatan dan surat berhubung perkara ini, akan diserahkan kepada Perdana Menteri dan Menteri Kesihatan.

Related posts

Leave a Comment