Komponen Kerajaan Perpaduan pentadbiran Melaka

KUALA LUMPUR 2 April – Parti komponen dalam Kerajaan Perpaduan akan turut dilibatkan dalam pembentukan struktur baharu pentadbiran kerajaan negeri Melaka dengan membabitkan beberapa portfolio.

Pengerusi Barisan Nasional (BN), Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata jawatan Timbalan Exco juga mungkin diwujudkan untuk melibatkan rakan-rakan parti komponen Kerajaan Perpaduan.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri mengesahkan telah bertemu Ketua Menteri Melaka yang baharu, Ab Rauf Yusoh berhubung pembentukan barisan Exco Negeri Melaka.

“Tadi saya telah dikunjungi Ketua Menteri Melaka yang baharu, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh untuk mengemukakan senarai nama barisan Exco Melaka bersama portfolio,” katanya selepas menghadiri Majlis Santunan Kasih Ramadan anjuran Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Seri Semarak di sini.

Presiden UMNO itu berkata, terdapat perubahan bukan sahaja dari portfolio, juga beberapa nama mungkin akan diwujudkan jawatan Timbalan Exco untuk beberapa portfolio tertentu.

“Saya ingin memgesahkan rakan-rakan kita dalam Kerajaan Perpaduan di peringkat pusat akan diambil kira di barisan Exco ada. Ini satu optik baru… menyokong Kerajaan Perpaduan di peringkat pusat,” ujarnya.

Ahmad Zahid berkata, nama-nama barisan Exco itu akan dipersembahkan oleh Ab Rauf kepada Mohd Ali dan beliau memberi kepercayaan kepada Ketua Menteri Melaka yang baharu untuk persembahkan kepada Yang Dipertua Negeri..

“Kita harus beri peluang beliau, buktikan beliau boleh lakukan yang terbaik dan kesenimambungan pentadbiran terdahulu diteruskan,” katanya lagi.

Ditanya mengenai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rembia, Jailani Khamis, yang lantang mengkritik pelantikan Ab Rauf sebagai Ketua Menteri Melaka yang baharu bagi menggantikan Sulaiman Ali, Ahmad Zahid menyerahkannya kepada Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka itu untuk membuat ketetapan.

Bagaimanapun Ahmad Zahid menasihatkan Jailani bersuara menggunakan saluran sepatutnya.

“Jika ada berbeza pendapat, janganlah menggunakan saluran di luar daripada kerajaan negeri yang ada dan gunalah saluran parti. Itu langkah terbaik,” katanya.

Related posts

Leave a Comment