BEIJING 1 April – Malaysia meraih komitmen pelaburan tertinggi dalam sejarah berjumlah RM170 bilion daripada pelabur China hasil daripada 19 memorandum persefahaman (MoU) yang dimeterai antara syarikat Malaysia dengan China, di sini.
Perdana Menteri, Anwar Ibrahim berkata, pencapaian itu sekali gus menunjukkan keyakinan China, khususnya pelabur dari negara itu terhadap ekonomi Malaysia.
“Ini adalah rekod tertinggi kepada negara, yang mana kami sudah mencapai komitmen sebanyak RM170 bilion pelaburan.
“Saya harus berterima kasih kepada pelabur kerana memberi kerjasama serta keyakinan kepada kami bahawa apa yang saya nyatakan sebentar tadi (dalam ucaptama) adalah yang terbaik untuk masa depan Malaysia,” katanya pada Forum Perniagaan Malaysia-China 2023, di sini.
Terdahulu dalam ucap tama pada forum itu, Anwar memberi jaminan bahawa kepemimpinannya akan memastikan segala bentuk kemudahan dalam menjalankan perniagaan dan pelaburan di Malaysia, berada pada tahap paling optimum.
“Justeru, bina lebih banyak perkongsian dengan syarikat Malaysia terutama dalam sektor strategik, untuk memajukan hubungan (Malaysia-China) supaya lebih mendalam.
“Kepada semua pemimpin perniagaan kami baik di China dan Malaysia, jadilah pemangkin kepada pembaharuan. Teruskan tugas kamu sebagai warga korporat yang bertanggungjawab,” katanya.
Mengulas lanjut mengenai pelaburan dari China itu, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, jumlah pelaburan besar diumumkan Perdana Menteri itu membabitkan komitmen pelaburan syarikat swasta dari China.
Daripada jumlah itu, katanya, komitmen pelaburan RM100 bilion dipersetujui hasil pertemuan Anwar bersama 50 pelabur berprofil tinggi dan tokoh korporat China pada sesi meja bulat, manakala RM70 bilion lagi adalah daripada pemeteraian 19 MoU pada forum berkenaan.
Syarikat berkenaan termasuk dalam sektor perumahan, pembinaan, pendidikan, teknologi, pertanian serta tenaga.
Forum Perniagaan Malaysia-China 2023 berlangsung sehari itu dihadiri 1,000 peserta daripada kedua-dua negara yang dihoskan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).
Satu lagi MoU penting akan dimeterai antara kerajaan dalam pertemuan Anwar dengan rakan sejawat, Li Qiang, sejurus selesai upacara sambutan rasmi di Dewan Besar Rakyat, di sini, nanti.
Pemeteraian MoU yang bakal disaksikan kedua-dua pemimpin itu merangkumi protokol untuk meminda perjanjian bagi memperluas serta memperdalam kerjasama ekonomi dan perdagangan antara Kerajaan Malaysia dengan China, membabitkan MITI serta Kementerian Perdagangan China.
Selain itu, protokol keperluan fitosanitasi untuk pengeksportan nangka ke China membabitkan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan Malaysia (MAFS) serta Jabatan Pentadbiran Am Kastam China (GACC) akan turut dimeterai.
