Singapura longgar sekatan

SINGAPURA 10 Jun  – Mulai Isnin, 14 Jun, Singapura akan memasuki Fasa Tiga (Kewaspadaan Dipertingkat) yang menyaksikan  beberapa sekatan dilonggarkan termasuk had  perhimpunan sosial ditambah daripada dua kepada lima orang.

Republik ini memasuki Fasa Dua dari 16 Mei hingga 13 Jun untuk mengurangkan peningkatan kes jangkitan dalam masyarakat.

Pengerusi Bersama Pasukan Petugas Pelbagai Kementerian (MTF) Gan Kim Yong berkata, sepanjang beberapa minggu lalu, jumlah kes Covid-19 yang berkaitan dan tidak berkaitan telah menurun secara progresif. 

Gan yang juga Menteri Perdagangan dan Perindustrian berkata, kluster baharu juga semakin kurang dan umumnya melibatkan kluster kecil.

“Rutin saringan dan ujian yang agresif membolehkan kami mengesan dan menangani kes-kes yang berpotensi lebih awal…ia dapat memperlahan dan mengekang penularan jangkitan dalam komuniti,” katanya pada sidang media maya hari ini.

Walaupun setiap isi rumah boleh menerima lima pengunjung sehari,namun orang ramai digalak mengehadkan perhimpunan sosial kepada tidak lebih daripada dua sehari

Lebih banyak sekatan akan dilonggarkan dalam langkah kedua mulai 21 Jun apabila orang ramai boleh makan di luar jika keadaan Covid-19 kekal terkawal pada minggu-minggu akan datang.

Bagaimanapun, Gan berkata untuk premis makanan ia hanya dibenarkan  beroperasi semula bermula 21 Jun, terhad lima orang setiap meja, kerana dianggap sebagai aktiviti berisiko tinggi “tidak memakai pelitup muka ketika makan.”

Majlis jamuan perkahwinan, yang tidak dibenarkan buat masa ini, akan juga disambung semula mulai 21 Jun.

Gimnasium dan studio kecergasan juga boleh menyambung semula kegiatan sukan dalam bangunan tanpa memakai pelitup mulai 21 Jun dengan jarak selamat sekurang-kurangnya dua meter antara individu dan sekurang-kurangnya tiga meter antara kumpulan sehingga lima orang.

Kelas sukan – di luar dan dalam bagunan – akan dihadkan kepada 30 orang termasuk jurulatih, dalam kumpulan tidak melebihi lima orang.

Kelas tuisyen dan pengayaan secara fizikal bagi mereka yang berusia 18 tahun dan ke bawah akan dibenarkan beroperasi semula mulai 21 Jun dengan langkah jarak selamat dipertingkat, yang akan diumumkan Kementerian Pendidikan (MOE), menurut MOH.

Pada sidang media itu, MTF juga mengumumkan empat Kit Ujian Kendiri Antigen Rapid Test (ART) akan tersedia di farmasi untuk orang awam mulai 16 Jun 2021.

Menurut pasukan petugas kit ujian yang mudah digunakan itu menghasilkan keputusan kurang 20 minit.

Related posts

Leave a Comment