Permohonan Najib Razak ditolak

PUTRAJAYA 31 Mac – Mahkamah Persekutuan menolak permohonan Najib Razak untuk menyemak semula sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda kerana menyeleweng RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.

Keputusan majoriti 4-1 itu dibacakan oleh Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Vernon Ong Lam Kiat.

Hakim Besar Sabah dan Sarawak Datuk Abdul Rahman Sebli yang mempengerusikan panel lima hakim itu membuat keputusan bertentangan.

Anggota panel lain ialah hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Rhodzariah Bujang dan Datuk Nordin Hassan serta hakim Mahkamah Rayuan Datuk Abu Bakar Jais.

Najib, 69, yang kini menjalani hukuman penjara 12 tahun itu di penjara Kajang, memohon untuk membatalkan keputusan yang dibuat oleh panel lima hakim Mahkamah Persekutuan diketuai Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat pada 23 Ogos tahun lalu.

Vernon berkata mahkamah mendapati tidak berlaku kegagalan dalam proses keadilan ketika pendengaran prosiding rayuan akhir kes pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram dana SRC International berjumlah RM42 juta oleh panel hakim Mahkamah Persekutuan.

Beliau berkata, hak Najib untuk mendapat perbicaraan yang adil tidak pernah dinafikan ketika pendengaran rayuan terbabit.

Katanya, peguam Najib ketika itu enggan membuat penghujahan lisan walaupun dibenarkan berbuat demikian oleh Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang mempengerusikan panel hakim yang akhirnya menolak rayuan akhir berkenaan.

Beliau merujuk peguam Hisyam Teh Poh Teik yang dilantik Najib ketika itu yang tidak mengemukakan penghujahan lisan walau diminta berbuat demikian ketika pendengaran rayuan akhir berkenaan.

Related posts

Leave a Comment