KUALA LUMPUR 24 Okt. – Sebanyak 31 syarikat pelancongan diberikan lesen rasmi oleh Tabung Haji (TH) sebagai Pengelola Jemaah Haji (PJH) untuk menawarkan Pakej Haji bagi musim 1447H/2026M.
Ketua Jabatan Haji TH, Mohd Hisham Harun, berkata Jawatankuasa Urusan Haji menilai 60 permohonan lesen sebelum memilih 31 syarikat berdasarkan semakan menyeluruh meliputi keupayaan kewangan, pematuhan undang-undang, rekod pengurusan jemaah serta prestasi operasi terdahulu.
“Pelantikan ini mencerminkan komitmen berterusan TH dalam memastikan PJH beroperasi mengikut piawaian, garis panduan dan syarat yang ditetapkan, selaras dengan tanggungjawab TH sebagai peneraju urusan haji negara,” katanya dalam kenyataan.
Pada musim haji lalu, 1446H/2025M sebanyak 37 syarikat pelancongan tempatan telah dilantik sebagai PJH berbanding musim sebelum itu 25 syarikat.
Sementara itu Mohd Hisham turut menasihatkan orang ramai supaya berwaspada terhadap sebarang tawaran pakej haji yang dibuat oleh pihak tidak berlesen, sambil mengingatkan bakal jemaah untuk menyemak senarai rasmi PJH berlesen melalui portal TH di www.tabunghaji.gov.my.
“TH menegaskan bahawa sebarang tawaran haji oleh pihak tidak berlesen adalah menyalahi Akta Tabung Haji 1995 dan boleh dianggap sebagai penipuan (scam),” katanya.
Beliau menegaskan, tindakan tegas akan diambil terhadap individu atau agensi yang terlibat, selain menyeru umat Islam yang berhasrat menunaikan ibadah haji supaya hanya berurusan dengan PJH sah dan dilesenkan oleh TH bagi mengelak sebarang risiko penipuan atau kerugian.
Nnnnn
