Jawab segera surat tawaran haji

KUALA LUMPUR 26 Mac –  Semua 31,600 bakal haji diminta untuk segera menjawab surat tawaran haji bagi musim haji 1444H/2023M yang dikeluarkan Lembaga Tabung Haji (TH) bermula Rabu lalu.

Pengarah Eksekutif Haji, Syed Saleh Syed Abdul Rahman, berkata bakal haji Malaysia boleh melayari www.thijari.com.my dan memuat turun aplikasi ThiJARI untuk menyemak serta menjawab tawaran haji yang sudah dikeluarkan.

“Pihak kami memohon kerjasama semua bakal haji tahun ini untuk menjawab sama ada setuju atau tidak untuk menerima tawaran haji tahun ini dalam masa tujuh hari bekerja dari tarikh surat berkenaan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, semua bakal haji terpilih perlu mencukupkan wang dalam akaun TH untuk sejumlah bayaran haji seperti yang tertera dalam surat tawaran.

Selain itu, bakal haji juga perlu mendapatkan Buku Rekod Rawatan di mana-mana cawangan TH yang berhampiran bagi membolehkan pemeriksaan kesihatan dilakukan.

Katanya, pemeriksaan kesihatan boleh dilakukan di hospital ataupun klinik kerajaan dan swasta yang diiktiraf Kementerian Kesihatan (KKM).

Semua bakal haji diwajibkan lulus pemeriksaan kesihatan bagi memperoleh visa haji sebagaimana yang ditetapkan oleh Kerajaan Arab Saudi.

“Setelah selesai pemeriksaan kesihatan, semua bakal haji diminta untuk menghantar jawapan surat tawaran haji, buku rekod rawatan dan pasport antarabangsa ke mana-mana pejabat cawangan TH yang berhampiran,” katanya.

Untuk maklumat lebih lanjut mengenai perkhidmatan TH, sila layari www.tabunghaji.gov.my atau hubungi Tabung Haji Contact Centre (THCC) di talian 03-6207 1919.

(Foto Haramain Sharifain)

Related posts

Leave a Comment