8.8 juta penduduk diancam kebuluran

ADDIS ABABA: Program Makanan Sedunia (WFP) di bawah naungan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melaporkan 8.8 juta penduduk Semenanjung Afrika Timur merangkumi Ethiopia, Somalia dan Kenya, diancam kebuluran.

Ini berikutan sekurang-kurangnya 9.5 juta haiwan ternakan mati sejak kemarau panjang bermula, menghapuskan sama sekali punca pendapatan dan sumber makanan utama yang berzat bagi masyarakat petani ini.

Justeru, WFP memerlukan AS$2.4 bilion (RM10.6 bilion) tahun ini untuk menunaikan tanggungjawab memberi bantuan makanan kepada 8.8 juta orang yang terjejas akibat kemarau panjang itu.

Dalam laporan Jumaat lalu, WFP berkata, kemarau akibat lima musim hujan yang kering kontang mengakibatkan kesan teruk terhadap haiwan ternakan, yang menjadi sumber makanan dan punca pendapatan utama masyarakat setempat.

Data agensi itu menunjukkan, sekitar empat juta ternakan di Ethiopia, tiga juta di Somalia dan 2.5 juta Kenya mati akibat kemarau panjang kali ini.

Menurut WFP, bencana akibat kemarau itu lebih buruk di Semenanjung Afrika Timur kerana harga makanan meningkat dengan melampau susulan krisis makroekonomi yang diburukkan lagi kekurangan bijirin tempatan dan bekalan makanan serta bahan api global.

PBB sebelum ini mengeluarkan amaran bahawa kematian begitu banyak haiwan ternakan akibat kemarau akan menjejaskan tumbesaran kanak-kanak, yang kini kekurangan makanan berzat seperti susu, sekali gus menjejaskan kesihatan mereka.

Mengikut data WFP, anggaran 5.1 juta kanak-kanak kini mengalami kekurangan zat yang kritikal di seluruh wilayah dilanda kemarau di tiga negara berkenaan.

Kemarau turut menjejaskan akses kanak-kanak kepada pendidikan kerana keluarga mereka kini terpaksa merantau bagi mencari kehidupan lebih baik.

Kira-kira 3.6 juta kanak-kanak yang sepatutnya bersekolah di Kenya, Somalia, dan Ethiopia kini berisiko tercicir terutama pelajar perempuan.

WFP juga memberi amaran bahawa keperluan bantuan kemanusiaan akan meningkat jika kemarau berterusan dan mengesyorkan pendekatan pelbagai hala bagi menanganinya.

Ia termasuk langkah jangka panjang dan pendek bagi pengurusan air secara mapan dan penyesuaian terhadap perubahan iklim.

Related posts

Leave a Comment