Lawatan kukuh hubungan Putrajaya-Riyadh

PUTRAJAYA 26 Mac – Lawatan Anwar Ibrahim ke Arab Saudi baru-baru ini sangat berhasil kerana mengukuhkan hubungan antara Putrajaya-Riyadh dalam masa singkat sebagai Perdana Menteri ke-10, iaitu memasuki bulan keempat.

Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Ahmad Farhan Fauzi, berkata ada cubaan pihak tertentu untuk menggariskan lawatan berkenaan sebagai gagal dan membazirkan dana rakyat.

“Saya mengambil maklum terhadap suara-suara daripada beberapa pihak berkepentingan yang sengaja mempolitikkan isu lawatan berkenaan dan saya terpanggil untuk menjelaskan perkara ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau yang turut serta dalam lawatan itu berkata, jadual perdana menteri sangat padat dan tersusun di mana beliau mengadakan pertemuan dengan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan badan Liga Muslim Dunia di Makkah selain menyaksikan beberapa pemeteraian MoU penting membabitkan lapangan perniagaan dan industri.

“Anwar turut menekuni beberapa permasalahan mendesak yang merundung dunia Arab dan Islam dan juga menyantuni komuniti serta mahasiswa Malaysia di Arab Saudi.

“Ingin dimaklumkan juga kerajaan Arab Saudi telah meminta untuk lawatan ini dilanjutkan bagi menyusun pertemuan dengan pimpinan kerajaan Arab Saudi tetapi beliau terpaksa menolak secara baik kerana telah dijadualkan untuk hadir ke majlis berbuka puasa bersama Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri selain kunjungi rasmi ke Phnom Penh, esok.

“Perdana Menteri juga akan ke Hainan dan Beijing pada Rabu bagi bertemu Presiden Xi Jinping dan rakan sejawatnya Premier Li Qiang.

“Saya menggesa kepada pihak yang kekontangan modal dan bankrap isu untuk menghentikan polemik ini dan bersama mendukung usaha dan upaya Kerajaan Perpaduan dalam memperkukuh imej Malaysia selain memantapkan kerjasama dan hubungan luar negara,” katanya.

Related posts

Leave a Comment