ISKANDAR PUTERI 20 Mac – Semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) diarahkan menggunakan istilah ‘pengimbang’ untuk merujuk kepada pembangkang di negeri ini sejajar dengan titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar, Khamis lalu.
Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata arahan itu susulan titah Sultan Johor yang menitahkan panggilan pembangkang adalah istilah yang tidak sesuai.
“DUN Johor mencipta sejarahnya yang tersendiri apabila Sultan Ibrahim menitahkan supaya wakil rakyat pembangkang di Johor digelar sebagai pengimbang.
“Sebagaimana istilah pengimbang telah digunakan Machap (Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi) semalam, maka diarahkan semua ahli Yang Berhormat menggunakan istilah pengimbang kerana lebih sesuai, murni dan tepat dan mampu wujudkan DUN yang wibawa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika memulakan persidangan sidang DUN Johor di Kota Iskandar, di sini, hari ini.
Sewaktu merasmikan pembukaan persidangan DUN Johor Khamis lalu, Sultan Ibrahim bertitah gelaran ‘pembangkang’ yang diberikan kepada ahli dewan di pihak bukan kerajaan sebagai kurang sesuai.
Baginda bertitah, ini kerana peranan mereka bukanlah hanya membangkang segala cadangan kerajaan semata-mata, maka lebih sesuai istilah ‘Pengimbang’ digunakan berikutan peranan mereka bagi mengimbang dan memeriksa kerajaan.
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Mac tahun lalu, BN menang majoriti dua pertiga apabila memperoleh 40 daripada 56 kerusi DUN manakala Pakatan Harapan (PH) memenangi 12 kerusi, MUDA satu dan Perikatan Nasional (PN) tiga kerusi.
