Hari pertama tiada peningkatan harga ayam

PUTRAJAYA 2 Nov. –  Hasil tinjauan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) di kawasan sekitar Selangor, Negeri Sembilan dan Putrajaya mendapati tiada peningkatan harga ayam di peringkat rantaian bekalan.

Menerusi hantaran di Facebook malam tadi, KPKM memaklumkan pemantauan pada hari pertama pengapungan harga ayam mendapati ayam yang dijual adalah antara RM7.39 hingga RM9.40 sekilogram (kg).

“Pengguna mempunyai pelbagai pilihan daripada segi harga jualan serta jenis ayam yang dijual berdasarkan lokasi dan tempat jualan. Aspek bekalan juga adalah stabil dan mencukupi untuk keperluan pengguna.

“Pihak KPKM akan terus bekerjasama erat bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dalam memastikan kestabilan bekalan ayam di pasaran serta memantau secara dekat mengenai sebarang aktiviti pencatutan yang dilaporkan,” menurut hantaran itu.

Pemantauan berkenaan diketuai sendiri Ketua Setiausaha KPKM,  Lokman Hakim Ali dan disertai Ketua Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Abdul Rashid Bahri.

Menurut KPKM, hasil tinjauan di Pasar Borong Selangor, Seri Kembangan mendapati ayam standard dijual pada harga RM9.40 sekilogram dengan caj upah pemotongan 50 sen manakala Pasar Raya Econsave Kota Warisan Sepang, harga ayam standard dijual RM8.39 sekilogram.

Selain itu, tinjauan di Agrobazaar Kedai Rakyat (AKR) Sungai Merab mendapati harga ayam super dijual RM9.20 sekilogram.

Pemantauan harga ayam standard di Nilai mendapati Pasar Awam Sementara Nilai menjual ayam sekilogram dengan harga RM9.40, Pasar Raya Giant Superstore Nilai (RM7.89) manakala di Lotus Nilai Putra dengan harga RM7.39 sekilogram.

Berdasarkan tinjauan di Putrajaya pula, harga sekilogram ayam super di Pasar Raya Mydin dijual pada harga RM7.99, di Peladang Outlet Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Putrajaya (RM9)).

Related posts

Leave a Comment