Komanwel bincang kemasukan semula Zimbabwe

PUTRAJAYA 16 Mac – Mesyuarat Kumpulan Tindakan Menteri Komanwel (CMAG) yang berlangsung di Marlborough House, London turut membincangkan status permohonan kemasukan semula Zimbabwe sebagai anggota Komanwel.

Menteri Luar Negeri, Datuk Dr. Zambry Abd Kadir yang mewakili Malaysia berkata mesyuarat juga membincangkan isu-isu berkepentingan bersama dan situasi pelbagai negara anggota Komanwel.

“Saya telah menekankan bahawa adalah tidak wajar bagi pendekatan  ’one size fits all’ digunakan dalam menggalakkan negara-negara menerima pakai prinsip demokrasi, kedaulatan undang undang dan dalam mempromosikan dan melindungi hak asasi manusia.

Malaysia juga bersedia menghulurkan bantuan teknikal kepada negara negara Komanwel yang memerlukan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

CMAG telah ditubuhkan pada 1995 selaku penjaga nilai-nilai asas politik Komanwel dengan keahlian pada ketika ini terdiri daripada Barbados, Belize, Canada, Ghana, Malaysia, Malta, Mauritus, Rwanda dan Samoa.

Malaysia telah dilantik sebagai ahli CMAG pada tahun 2018.

Terdahulu, sempena sambutan Hari Komanwel, Dr. Zambry menghadiri Upacara Menaikkan Bendera “Flag for Peace” di Marlborough House.

Sewaktu upacara tersebut, beliau berkesempatan untuk bertemu dengan ramai rakan sejawat dari negara anggota Komanwel diikuti menghadiri Majlis Resepsi Hari Komanwel yang dihoskan oleh Raja Charles III di Istana Buckingham.

Related posts

Leave a Comment