Sah Ahmad Jazlan Pengerusi Felcra

KOTA BHARU 15 Mac – Selepas pelantikan ditangguhkan pada 21 Disember lalu, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan Ahmad Jazlan Yaakub dilantik semula sebagai Pengerusi Felcra Berhad berkuat kuasa 1 Mac lepas.

Timbalan Perdana Menteri  Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pelantikan semula Ahmad Jazlan adalah berikutan keupayaan dan prestasi yang ditunjukkannya sebagai pengerusi agensi itu sebelum ini.

Presiden UMNO itu mengumumkan demikian pada Majlis Pengenalan Calon Pengerusi Tetap, Timbalan Pengerusi Tetap, Naib-naib Presiden dan Ahli Majlis Tertinggi sempena Pemilihan UMNO sesi 2023-2026 peringkat negeri Kelantan, di sini hari ini.

“Saya telah umumkan secara berperingkat pelantikan pengerusi syarikat berkaitan kerajaan kerana jawatan-jawatan itu diluluskan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan mengikut prosedur yang terdapat dalam pelantikan tersebut.

“Tidak ada perkara, faktor-faktor yang nyata atau sembunyi kerana ia adalah hak mutlak Perdana Menteri,” katanya kepada pemberita selepas majlis tersebut.

Ahmad Jazlan, dilantik sebagai Pengerusi Felcra Berhad pada 1 Oktober 2021 dan pada 16 Disember 2022, Ahmad Zahid mengumumkan bekas Ahli Parlimen Machang itu akan dilantik semula.

Menurut Ahmad Zahid, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira kehendak perwakilan Koperasi Peserta-Peserta Malaysia Berhad.

Katanya, biarpun Kabinet memutuskan supaya semua jawatan politik dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) ditamatkan, atas kehendak ahli koperasi itu, pertimbangan bagi lantikan semula itu diberikan.

“Saya tak boleh untuk tak setuju untuk memberikan kepercayaan semula kepada Datuk Ahmad Jazlan. Dengan ini saya mengarahkan Ketua Setiausaha Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (Datuk Ramlan Harun) untuk mengeluarkan surat pelantikan semula dengan sesegera yang mungkin, tertakluk kepada persetujuan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah,” katanya.

Bagaimanapun berikutan pengumuman itu, pada 21 Disember lepas, Perdana Menteri Anwar Ibrahim menangguhkan pelantikan semula Ahmad Jazlan itu.

(Foto Ahmad Jazlan (tengah))

Related posts

Leave a Comment