KOTA BHARU 15 Mac – Beri BN, UMNO dan gabungan parti untuk tempoh lima tahun bagi menyelesaikan beberapa perkara di Kelantan termasuk masalah bekalan air.
Itu permintaan Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Kelantan.
“Bagi saya di Kelantan ini masalah air mesti diselesaikan, itu janji UMNO dan BN yang wajib diselesaikan,” katanya yang juga Timbalan Perdana Menteri.
Beliau berkata sekiranya UMNO dan BN menjadi pilihan, pihaknya akan tetap meneruskan dasar-dasar baik yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri ketika ini.
“Jadi dalam keadaan ini, pengundi Kelantan bagi UMNO menang sekali, kalau kita menang tetapi tidak berprestasi tukar balik kepada yang lama tidak apa tetapi cuba kami dulu dan insya-Allah kami akan buktikan bahawa kami lebih baik,” katanya.
Bercakap pada sidang media selepas Majlis Pengenalan Calon-Calon Pemilihan UMNO sesi 2023/2026, hari ini, beliau berkata rakyat jangan jangan dimangsakan dengan menikmati air keruh dan mengatakan bahawa itu adalah takdir Allah.
“Kita mesti berusaha untuk memberikan air bersih kepada rakyat, beri maksimum kepada UMNO dan BN untuk kami buktikan beri air bersih yang boleh diminum kepada rakyat Kelantan jika diberi peluang oleh pengundi untuk membentuk kerajaan,” katanya.
Mengenai calon PRN, tiga kriteria utama ditetapkan BN iaitu “winnability” (boleh menang), “acceptability’ (dapat diterima) dan “likeability” (disenangi).
Beliau berkata calon juga akan dibuat berdasarkan keputusan pemilihan UMNO pada 18 Mac nanti.
“Saya akan lihat selepas 18 Mac siapa menang Ketua Bahagian dan kita juga akan teliti tokoh-tokoh yang menang dalam pemilihan Pemuda, Wanita dan Puteri.
Dan ini adalah satu penilaian yang kita buat berdasarkan kepada ‘winnability’, ‘likeability’ dan ‘acceptability’, tiga perkara ini jadi kriteria utama,” katanya.
