Mangsa banjir Johor catat penurunan

JOHOR BAHRU 12 Mac –  Jumlah mangsa banjir di negeri ini terus menunjukkan penurunan dengan merekodkan 42,638 mangsa daripada 12,049 keluarga berbanding 42,770 orang daripada 12,159 keluarga pada pukul 8 malam tadi.

Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Dr Azmi Rohani, berkata setakat pukul 8 pagi ini, semua mangsa banjir ditempatkan di 155 pusat pemindahan sementara (PPS) di empat daerah yang masih terjejas.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Johor berkata, ketika ini hanya Batu Pahat, Muar, Tangkak dan Segamat yang masih terjejas dengan banjir.

“Jumlah mangsa banjir secara keseluruhan di empat daerah ini menunjukkan penurunan walaupun Batu Pahat mencatatkan penambahan jumlah mangsa banjir pagi ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Azmi, setakat ini terdapat 39,870 mangsa banjir (11,128 keluarga) yang masih ditempatkan di 115 PPS di Batu Pahat manakala, di Muar, jumlah mangsa banjir menurun kepada 1,457 orang (443 keluarga) di 16 PPS.

“Tangkak dan Segamat juga mencatatkan penurunan mangsa banjir masing-masing 949 orang (378 keluarga) di 10 PPS dan 362 mangsa banjir (100 keluarga) di 14 PPS,” katanya.

Related posts

Leave a Comment