Banjir di Batu Pahat makin buruk

JOHOR BAHRU 11 Mac – Situasi banjir di daerah Batu Pahat semakin buruk apabila 632 mangsa lagi dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) malam tadi, kata Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Dr Azmi Rohani.

Dengan pertambahan itu, jumlah mangsa banjir di Johor meningkat kepada 44,937 orang melibatkan 12,730 keluarga setakat 8 pagi ini, berbanding 44,089 dari 12,486 keluarga petang semalam.

Dr Azmi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Johor dalam satu kenyataan berkata, semua mangsa banjir itu kini ditempatkan di 172 PPS di lima daerah terjejas.

Lima daerah yang masih terjejas setakat ini iaitu Batu Pahat, Muar, Tangkak, Segamat dan Mersing dan semua merekodkan jumlah mangsa banjir yang berkurangan kecuali Batu Pahat.

Batu Pahat kekal menjadi daerah paling teruk terjejas banjir dengan pemindahan 39,878 mangsa (11,104 keluarga) di 114 PPS.

Menurut Azmi, di Muar pula, jumlah mangsa banjir menurun kepada 2,785 mangsa (846 keluarga) di 19 PPS manakala Segamat pula kini tinggal 706 mangsa banjir (169 keluarga) di 19 PPS.

Tangkak dan Mersing pula berkurang dengan jumlah mangsa banjir masing-masing 1,662 orang (587 keluarga) di 17 PPS dan 47 orang (14 keluarga) yang ditempatkan di tiga PPS.

Sementara itu, lapan lembangan sungai di daerah Muar dan Batu Pahat menunjukkan di atas paras bahaya, membabitkan dua sungai di Muar iaitu Sungai Muar di Bukit Kepong dan Sungai Muar di Panchor.

Manakala enam sungai di Batu Pahat membabitkan Sungai Batu Pahat di Empangan Bekok, Sungai Bekok di Bandar Yong Peng, Sungai Sembrong di Parit Karjo, Sungai Simpang Kiri di Sri Medan, Sungai Simpang Kiri di Parit Sulong dan Sungai Senggarang di Senggarang.

Sementara itu, rekod Agensi Pengurusan Bencana Negara menunjukkan sehingga 6 pagi ini, jumlah mangsa banjir di tiga negeri sedikit meningkat pagi ini, dengan 44,994 mangsa direkod berlindung di PPS.

Johor terus merekodkan angka tertinggi dengan 44,442 mangsa membabitkan 12,538 keluarga.

Daripada lima daerah yang terkesan, Batu Pahat terus mencatat bilangan mangsa tertinggi dengan 39,242 orang daripada 10,912 keluarga yang kini ditempatkan di 114 PPS.

Empat daerah lain membabitkan Mersing dengan 47 mangsa di tiga PPS, diikuti Muar (2,785 mangsa di 19 PPS), Segamat (706 mangsa di 19 PPS) dan Tangkak (1,662 mangsa di 17 PPS).

Di Melaka pula, seramai 380 mangsa daripada 99 keluarga ditempatkan di lima PPS yang dibuka di daerah Jasin, manakala 172 mangsa daripada 61 keluarga berada di dua PPS yang masih beroperasi di daerah Rompin di Pahang.

(Foto PDRM dan JBPM membantu mangsa banjir di Parit Tariman , Sri Menanti Laut dan Kampung Makmor Senggarang.

Related posts

Leave a Comment