SEPANG 9 Mac – Hospital Cyberjaya berpotensi sebagai hospital rujukan utama untuk apa-apa bencana di pintu masuk negara iaitu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA Terminal 1) dan KLIA Terminal 2.
Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa, berkata kedudukan strategik juga membolehkan Litar Antarabangsa Sepang dan Silicon Valley Cyberjaya juga dapat memanfaatkan perkhidmatan kesihatan di hospital itu.
“Sejajar dengan usaha memperkukuhkan penyampaian perkhidmatan kesihatan negara, pembinaan Hospital Cyberjaya ini adalah bertujuan mengurangkan Bed Occupancy Rate (BOR) hospital-hospital di Lembah Klang yang tinggi.
“Pada masa ini, kadar penggunaan katil di hospital-hospital awam di daerah Sepang dan Hulu Langat terutamanya Hospital Kajang adalah melebihi 90 peratus sementara BOR melebihi 80 peratus bagi Hospital Serdang dan Hospital Ampang,” katanya dalam teks ucapan Majlis Perasmian Hospital Cyberjaya hari ini.
Teks ucapannya dibacakan oleh Timbalan Menteri Kesihatan, Lukanisman Awang Sauni pada Majlis Perasmian Hospital Cyberjaya hari ini.
Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan merasmikan Hospital Cyberjaya itu.
Turut berangkat, Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin dan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Zaliha berkata, terdapat isu prosedur pembedahan yang tertunggak di mana 85.1 peratus daripada kes tertunggak di sekitar Lembah Klang bertumpu di hospital awam sekitar Cyberjaya.
Sehubungan itu, katanya, pelaksanaan hospital kluster antara Hospital Cyberjaya dengan Hospital Selangor Selatan (Kajang, Serdang dan Ampang) dapat memperkukuhkan perkongsian sumber serta perkhidmatan kepakaran untuk jangka masa panjang.
Menerusi pembinaan Hospital Cyberjaya dan kerjasama fasiliti kesihatan lain, pelbagai program berkaitan kesihatan dapat dirancang dan dilaksanakan dengan lebih terangkum dan menyeluruh.
“Seperti perluasan aktiviti saringan kesihatan, pelaksanaan program imunisasi kepada golongan wanita dan kanak-kanak, aktiviti pencegahan dan pengawalan penyakit dan aktiviti perawatan perubatan kepada pesakit di daerah Sepang.
“Bagi mempertingkat dan memperluaskan perkhidmatan primer kepada penduduk setempat, Klinik Kesihatan Cyberjaya juga telah dibangunkan dalam kawasan hospital dengan menukar ganti bangunan asrama jururawat.
“Ini untuk menawarkan perkhidmatan kesihatan ibu dan anak bagi masyarakat setempat sekali gus mengurangkan kesesakan di Klinik Kesihatan Dengkil yang terletak 22 kilometer daripada fasiliti ini,” katanya.
KKM juga sedang meneliti keperluan untuk menyediakan sebuah mesin MRI untuk menampung keperluan semasa serta peranan hospital ini sebagai hospital rujukan bagi sebarang kejadian bencana KLIA dalam memastikan perkhidmatan kesihatan dilaksanakan sebaik mungkin.
