Muhyiddin sedia jawab 7 pertuduhan

PUTRAJAYA 9 Mac – Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan menjawab tujuh pertuduhan terhadapnya di mahkamah.

Sambil menegaskan bahawa beliau tidak bersalah, Presiden Bersatu itu mendakwa pertuduhan yang dikenakan ke atasnya adalah bertujuan untuk memalukannya.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu berkata, pendakwaan terpilih ke atas dirinya ini adalah satu tindakan politik berniat jahat yang bertujuan untuk melumpuhkan dan menghancurkan Bersatu dan PN.

“Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) tahu bahawa PN mendapat sokongan padu daripada rakyat terutamanya orang Melayu dan Bumiputera dan akan menang besar dalam enam pilihan raya negeri yang akan diadakan tidak lama lagi.

Saya menegaskan bahawa saya tidak bersalah dan saya akan jawab segala pertuduhan terhadap saya di mahkamah,” katanya.

Beliau berkata, beliau sudah menjelaskan semua perkara kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan tiada asas untuk mendakwanya di bawah mana-mana undang-undang.

Tetapi sudah ada arahan daripada pihak yang paling berkuasa dalam pentadbiran negara supaya saya didakwa.

“Jadi, walau apapun penjelasan yang saya berikan, saya tetap akan didakwa,” katanya di luar bangunan SPRM malam ini.

Muhyiddin yang ditahan hari ini dibebaskan dengan jaminan SPRM tetapi akan tetap hadir ke Mahkamah Kuala Lumpur esok untuk pendakwaan.

Beliau yang ditahan pada 1 tengah hari tadi dibebaskan pada 8.20 malam ini selepas hadir untuk dirakam percakapan bagi melengkapkan proses siasatan akhir berhubung projek Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (Jana Wibawa) dan isu berkaitan di ibu pejabat SPRM di sini.

Sementara itu Muhyiddin mengakui pegawai penyiasat SPRM melayannya secara berhemah dan tidak menekannya ketika memberi keterangan selama lebih lapan jam.

Beliau berkata , tempoh penahanannya berlangsung dengan agak lama disebabkan banyak perkara yang perlu diperiksa dan memakan masa.

“Mereka menguruskan perkara ini dengan agak berhemah, malah turut menghormati saya.

“Ia memakan masa kerana perlu melihat satu persatu rekod dan semakan dibuat sebelum dipersetujui.

Tetapi, tiada tekanan yang diberikan pegawai penyiasat dan saya amat menghargai cara SPRM menyiasat dan menjalankan pemeriksaan,” katanya.

SPRM mengesahkan Muhyiddin ditahan pada jam 1 tengah hari tadi di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya selepas beliau hadir untuk dirakam percakapan bagi melengkapkan proses siasatan akhir berhubung projek Jana Wibawa dan isu berkaitan.

Related posts

Leave a Comment