Putra persoal keadilan KDN masa depan

SEPANG 8 Mac –  Putra mempersoalkan sama ada Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan memberi pengecualian dengan mengguna kuasa menteri jika ada mana-mana parti melanggar peraturan dan perlembagaan yang disahkan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS).

Presiden Putra, Dr Ibrahim Ali membangkitkan persoalan itu susulan tindakan KDN memberi pengecualian kepada UMNO daripada pematuhan Seksyen 13(1)(c)(iv) Akta Pertubuhan 1966, berhubung usul tambahan tidak mempertanding jawatan Presiden dan Timbalan Presiden pada pemilihan parti tahun ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengumumkan keputusan KDN itu dalam satu kenyataan semalam.

Ibrahim berkata, walaupun isu itu tiada kaitan dengan Putra tetapi ia membabitkan urusan perjalanan sesebuah parti politik yang mungkin isu seumpama ini juga berlaku kepada parti politik lain pada masa akan datang.

“Apakah Menteri Dalam Negeri juga akan memberi pengecualian dengan mengguna kuasa Menteri berdasarkan Seksyen 70 Akta Pertubuhan 1966.

“Maka setiap parti politik boleh buat apa saja sesuka hati demi kepentingqn diri dan bila RoS buat keputusan tidak sah, maka boleh minta jasa baik kuasa budi bicara Menteri Dalam Negeri.

“Menteri Dalam Negeri kena adil kepada semua parti, kena ‘walk the talk’, jangan pilih kasih, inilah reformasi yang diperkenalkan oleh kerajaan campuran PH/BN,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Ibrahim, tindakan KDN jelas untuk kepentingan seorang dua individu, sehingga martabat negara yang berdaulat mengikut undang-undang dicemari.

“Kerana seekor lembu yang sakit, dilepas bebas dalam kandang menyebabkan sekandang lembu turut sakit dan sama saperti kerana nila setitik rosak susu sebelanga,” katanya.

Ibrahim berkata, rakyat menjangkakan reformasi undang-undang makin telus dan rule of law dijunjung serta tidak dinodai tetapi rupa-rupanya ibarat ayam berkokok tetapi hari tidak siang juga.

Beliau menegaskan tanpa kedaulatan undang-undang, negara terdedah kepada undang-undang rimba atau Law of the Jungles.

Justeru kata Ibrahim, belum terlewat untuk Menteri Dalam Negeri menarik balik keputusan kuasa yang diguna dan menyerahkan kepada RoS yang bertanggungjawab atas apa juga urusan yang berkaitan dengan pertubuhan.

Related posts

Leave a Comment