Sokong Belanjawan 2021

AHLI- ahli Dewan Rakyat dinasihatkan memberi sokongan padu kepada Belanjawan 2021 demi kesejahteraan dan kelangsungan hidup rakyat serta pemulihan ekonomi negara yang terkesan akibat penularan wabak Covid-19.

Ini kerana belanjawan itu amat penting kepada Kerajaan dan pihak-pihak berkuasa, khususnya petugas barisan hadapan, untuk meneruskan dan melancarkan dasar serta usaha membendung dan menangani ancaman wabak ini dari terus merebak.

Nasihat itu disampaikan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Datuk Pengelola Bijaya Diraja Ahmad Fadil Shamsuddin.

Sebelum itu, Al-Sultan Abdullah menerima menghadap Perdana Muhyiddin Yassin untuk mesyuarat Pra-Kabinet di Istana Negara, hari ini.

Al-Sultan Abdullah menyeru Ahli-ahli Dewan Rakyat menghormati titah nasihat Seri Paduka Baginda untuk memberhentikan segera segala perbalahan politik dan sebaliknya mengutamakan kebajikan rakyat serta kesejahteraan negara supaya Belanjawan 2021 diluluskan tanpa sebarang gangguan.

Baginda mengingatkan sengketa politik untuk kepentingan peribadi masing-masing akan merugikan negara dan seluruh rakyat akan menjadi mangsa pada ketika negara masih lagi bergelut menghadapi ancaman wabak Covid-19 ini.

Dalam sesi menghadap yang berlangsung lebih satu jam dari pukul 8  pagi ini, Al-Sultan Abdullah telah berkenan menerima taklimat ringkas berkenaan Belanjawan 2021 yang akan dibentang di Parlimen pada 6 November, 2020.

Al-Sultan Abdullah menzahirkan harapan Seri Paduka Baginda agar Belanjawan 2021 ini memberi penekanan kepada pemulihan ekonomi negara dan kesejahteraan serta kelangsungan hidup rakyat yang terkesan akibat penularan COVID-19.

Seri Paduka turut menzahirkan keyakinan penuh kemampuan Muhyiddin untuk menerajui kepemimpinan negara pada saat negara sedang diuji dengan pelbagai krisis ini.

Mesyuarat Pra-Kabinet adalah antara aktiviti mingguan atau rutin utama Al-Sultan Abdullah untuk berbincang dan bertukar pendapat bersama Perdana Menteri berkenaan urusan dan isu-isu berkaitan Kerajaan.

Related posts

Leave a Comment